Followers

Thursday, June 25, 2015

Songlap Duit MARA - Polis Persekutuan Australia Lancar Serbuan



KUALA LUMPUR: Polis Persekutuan Australia hari ini melancarkan beberapa serbuan di bandaraya Melbourne ekoran penyiasatan ke atas pembelian sebuah hartanah di Australia yang didakwa melibatkan seorang pegawai tinggi Majlis Amanah Rakyat (MARA), seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik Malaysia.

Menurut laporan The Age, pihak polis telah merampas beberapa komputer dan fail dari sebuah rumah di Vermont South dan beberapa hartanah lagi telah disasarkan untuk serbuan lain.

Operasi yang dinamakan Carambola itu, dilancarkan susulan penyiasatan oleh Fairfax Media mengenai satu skim penipuan hartanah yang didakwa membabitkan berjuta-juta dolar Australia.

Laporan itu berkata ini adalah kali pertama pihak polis melancarkan operasi besar-besaran seumpama ini.

Siasatan itu turut mendapat perhatian di negara ini apabila laporan The Age sebelum ini mendakwa ia turut membabitkan beberapoa individu dari Malaysia termasuk mengaitkannya dengan pembelian hartanah oleh anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata siasatan akan dilakukan terhadap laporan terbabit dan berkata sekiranya ada pihak yang didapati menipu atau cuba memperdaya ahli-ahli mesyuarat Majlis Ekonomi dengan butiran yang tidak tepat atau lengkap, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Pengerusi MARA Tan Sri Annuar Musa dalam sidang akhbarnya pada Rabu pula berkata pembelian hartanah Dudley International House di Melbourne oleh anak syarikatnya, Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) mematuhi tatacara perolehan yang di tetapkan mengikut garis  panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.

Annuar berkata  Mara Inc  juga telah mula disiasat oleh unit audit Mara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak dua bulan lepas.

Beliau turut memberikan masa tujuh hari untuk Mara Inc mengemukakan ulasan bertulis mengenai perkara itu   dan dalam masa 14 hari lagi, sebuah mesyuarat khas Mara akan diadakan untuk membincangkan perkara itu.

Akhbar Australia The Age sebelum ini melaporkan seorang pegawai tinggi MARA, seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik didakwa membelanjakan jutaan ringgit dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne dalam penipuan hartanah.

Akhbar itu mendakwa "sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya" terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandaraya itu pada 2013.

Ketiga-tiga pegawai itu didakwa "membida lebih tinggi" bagi Dudley International House, daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan wang perbezaan itu dijadikan sebagai rasuah.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.