Followers

Monday, June 15, 2015

Skandal duit lesap berkembang dari zaman Mahathir

 

Menarik juga majalah KINIBIZ yang baru saya beli dan baca baru-baru ini. Ia menceritakan perihal masalah kewangan negara kita terutamanya masalah seperti kes 1MDB yang semua sedia maklum amat hebat dicanangkan oleh pengkritik Datuk Seri Najib Tun Razak.
Adakah 1MDB ini satu-satunya kes pelik berhubung dengan salah urus tadbir kewangan yang melibatkan rakyat, negara dan ahli politik? semua tahu jawapannya adalah Tidak!, itu bukan yang pertama dalam sejarah Malaysia.

Kalau nak diikutkan, berlakunya berbagai kes pelik salah urus tadbir kewangan yang membuatkan duit lesap dalam kuantiti yang banyak berlaku sejak zaman pemerintahan Tun Mahathir lagi. 


Malah oleh kerana Tun Mahathir merupakan Perdana Menteri paling lama memerintah dan berkuasa dalam Malaysia, maka sudah tentu lebih banyak kes sebegitu berlaku pada zamannya berbanding pada zaman perdana menteri lain.

Skandal duit lesap yang terkenal

Skandal paling mula yang meletup dan jadi terkenal di seluruh negara bermula pada awal tahun 80-an. Masa zaman itu saya juga masih bersekolah menengah lagi dan sekolah kat kampung pula.

Namun begitu saya masih ingat lagi kes yang kita panggil sebagai 'skandal BMF', mendapat perhatian saya yang masih mentah itu. Punyalah besar sampai seorang budak kampung yang banyak habiskan masanya main bolasepakpun tertarik untuk mengetahuinya.

Kes itu jadi meletup dan terkenal kerana ia merupakan kes pertama yang melibatkan jumlah wang yang amat besar sampai berbillion ringgit. 


Kalau adapun skandal sebelum itu dalam melesapkan wang rakyat atau korporat taklah sampai berbillion. Jadi kes misteri 'Bumiputra Malaysia Finance' adalah kes besar pertama berlaku di negara kita.

Sebenarnya mungkin hanya disebabkan nasib tak baik Tun Mahathir terlibat sama secara tidak lansung dalam skandal BMF. Tun Mahathir hanya jadi Perdana Menteri pada tahun 1981 sementara skandal BMF mula bergerak sejak tahun 1979 lagi.

Wang sejumlah RM2.5 billion bergerak dari 1979 sehingga 1983 dari BMF masuk ke dalam pelaburan hartanah Carrian Group milik George Tan di Hong Kong. 


Selepas jadi PM, nampaknya Tun Mahathir biarkan saja pelaburan itu berterusan sehinggalah projek Carrian hancur lunyai dan terus bankrup.


Skandal besar, hukuman ringan

Bila jadi begitu semua orang buka mata. Seluruh dunia buka mata dengan kehebatan sistem kawalan bank yang diamalkan oleh BMF (Cawangan Bank Bumiputra di Hong Kong) dan juga Bank Bumiputera di Malaysia.

Persoalan paling besar adalah apa yang bank bumiputra buat dengan melabur kat projek hartanah di Hong Kong sedangkan tujuan penubuhan bank bumiputra Malaysia adalah untuk memenuhi agenda bumiputra aktif di dalam dunia perniagaan ?

Dan yang paling saya ingat sekali tentang kes atau skandal BMF ini adalah bila pegawai yang ditugaskan ke Hong Kong untuk menyiasat skandal ini dibunuh dengan kejam dan dihumban mayatnya ke ladang pokok pisang. Sikit punya brutal ke?

Akhir sekali, punyalah besar dan hebat kes BMF, mereka yang terlibat dalam skandal tersebut menerima hukuman yang membosankan dan amat ringan sekali. Mereka tentu tergelak besar dengan hukuman yang mereka terima masa itu dan semuanya dilupakan selepas itu.

Banyak lagi skandal lain

Selain daripada skandal BMF ada banyak lagi yang melibatkan jumlah wang yang amat banyak. Antaranya adalah seperti skandal Maminco, Perwaja Steel, Malaysia Airlines, Renong, Bank Negara Malaysia (forex) dan lain-lain lagi.

Cuba lihat kesemua kes tersebut apa jadi pada mereka yang bertanggung jawab? tak ada apa-apa berlaku sebenarnya. Mereka semua masih dianggap hebat dan masih dikagumi oleh rakyat Malaysia. 


Malah ada banyak pinjaman yang disalurkan pada taikun hebat bumiputera yang langsung tak pernah dibayar sampai sekarang !

Secara ringkasnya, banyak terjadi aktiviti lesap duit yang banyak dilakukan bermula daripada perjuangan atas nama bumiputera. 


Atas nama itu, maka bermula pengumpulan wang yang banyak disalurkan oleh kerajaan dan rakyat yang kononnya dikahskan untuk tolong bumiputera.

Dan biasanya ia berakhir dengan duit dilesapkan begitu saja oleh pihak-pihak tertentu yang amat licik. Bila duit dah habis, akan lompat seorang lagi pemimpin menghunuskan keris atas nama bumiputera dan menyeru agar satu lagi longgokan duit segera di buat khas untuk membantu bumiputera.

Dan satu longgok lagi duit akan lesap sambil rakyat hanya melihat terkebil-kebil! setelah puas terkebil-kebil, mereka palingkan muka dan terus terlupa dan tidak ada yang dihukum dan diseret ke tali gantung sebagai hukuman yang patut kerana membuat rompakan secara aman. 


Atau sekurangnya hukumlah mereka dengan lebih setimpal supaya tidak ada lagi yang berani meloncat menyeru satu lagi longgokan duit dikumpulkan atas nama bumiputera!

Apa pendapat anda...?

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.