Followers

Saturday, June 20, 2015

Singapura 'terkejut' Malaysia tamatkan terminal kereta api laju KL-Singapura di JB


Kementerian Pengangkutan Singapura (MOTS) pada Jumaat menyatakan bahawa pihaknya ‘terkejut’ dengan kenyataan Suruhanjaya Pengangkutan Darat Malaysia (SPAD) tentang cadangan mahu menamatkan terminal kereta api berkelajuan tinggi di kompleks kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) di Johor Bahru.

Pada bulan Mei, kedua-dua pemimpin Malaysia dan Singapura telah mengumumkan bahawa terminal di Singapura akan berada di Jurong East, lapor portal berita ChannelNewsAsia.

“Mengikut pemahaman kami, Malaysia melihat premis komersial bagi projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura sebagai suatu hubungan terus antara dua pusat bandar raya.  Itu yang kami persetujui.

“Namun, dengan menamatkan terminal tersebut di Johor Bahru objektif ini tidak akan tercapai,” kata jurucakap MOTS .

Dalam sebuah temubual dengan The Edge Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif SPAD Mohd Nur Ismal Mohd Kamal telah ditanya mengenai stesen terakhir di Singapura yang menjadi isu.

Menjawab soalan itu, Mohd Nur Ismal berkata, seperti yang dipetik oleh The Edge: “Kami lebih berminat untuk mengakhiri laluan tersebut di kompleks CIQ sedia ada. Walau bagaimanapun, Singapura mahukan ia berakhir di Jurong East.

“Seperti mana kami ingin membangunkan Bandar Malaysia, mereka mahu menggunakan projek ini untuk memacu pembangunan di Jurong East.

“Daripada perspektif kami, dengan mengakhiri laluan tersebut di CIQ, keseluruhan projek ini akan berada dalam sempadan negara kita dan kita akan mempunyai kawalan penuh ke atasnya. Ia lebih dekat dengan Orchard Road berbanding Jurong East.

“Namun tentunya, kita harus mengambil kira pertimbangan ekonomi dan komersial Singapura untuk mencapai satu persetujuan.”

MOTS berkata, pihaknya dan Malaysia masih dalam perbincangan mengenai model komersial dan operasi projek landasan keretapi berkelajuan tinggi.

Singapura telah mencadangkan bahawa perkhidmatan transit domestik, iaitu yang berhenti di enam stesen di Malaysia, akan diselia secara berasingan daripada perkhidmatan ekspres antara Kuala Lumpur dan Singapura.

“Ini yang akan memberikan autonomi kepada Malaysia bagi memenuhi keperluan domestik dan manfaat terhadap negara itu,” ujar Kementerian Pengangkutan Singapura.

Mohd Nur Ismal dilaporkan sebagai berkata: “Oleh kerana stesen tambahan akan memberi kelebihan kepada Malaysia, Singapura tidak begitu tertarik dengan laluan transit tersebut.”

“Bagaimanapun, selain kita mempertimbangkan aspek ekonomi dan komersial Singapura, kita juga harus menjaga kepentingan kita.

“Perlu ada tolak ansur supaya kedua-dua pihak boleh mendapat manfaat daripadanya,” ujarnya yang mengatakan bahawa kos membina enam stesen itu hanya peratusan kecil daripada kos keseluruhan projek.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.