Followers

Tuesday, June 9, 2015

Penyatuan Umno - PAS Kian Hampir

 

Bibit penyatuan antara Umno dan Pas semakin jelas apabila kedua-dua kepimpinan parti itu positif untuk menjalin kerjasama.

Setiausaha Kelab Veteran Umno Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub berkata, keterbukaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuatkan masyarakat Melayu khas meletakkan harapan agar kedua-dua parti itu menjalinkan kerjasama yang lebih rapat.

“Kami veteran Umno menyambut baik jika kedua-dua parti menjalin kerjasama untuk kebaikan ummah.

“Telah lama kami nantikan saat ini, perkembangan akhir-akhir ini cukup positif kita percaya keakraban kedua-dua parti membuatkan Melayu dan Islam semakin kuat,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri yang berada di Jeddah menegaskan Umno bersedia berbincang sebarang perkara berkaitan kepentingan umat Islam dengan Pas terutama selepas pembentukan kepemimpinan baharu parti itu.

Najib yang juga Presiden Umno berkata, beliau turut meletakkan harapan untuk kepimpinan baharu Pas ke arah kerjasama itu.

Menurutnya, pihaknya berharap kerjasama itu tidak hanya terjalin dalam bentuk urusan rasmi sahaja, tetapi berlanjutan kepada kerjasama politik.

“Pada peringkat awal ini kita tidak mahu letakkan harapan yang tinggi, cukuplah buat masa ini kerjasama bagi penyatuan ummah dan kebaikan agama itu dilaksanakan dahulu.

“Namun, ke satu peringkat lain, kita harap usaha sama dari segi politik itu akan terjalin,” katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menolak bukan mudah untuk kerjasama itu terjalin memandangkan tidak semua ahli dalam kedua-dua parti itu mempunyai pendekatan yang sama.

“Kita tahu ada kumpulan dalam Pas yang elergik dengan Umno begitu juga ada orang Umno yang elergik dengan Pas.

“Tetapi sedarlah yang harapan ini bukan pada kami veteran sahaja, tetapi masyarakat juga mengharapkan perkara yang sama terjadi,” katanya.

Ditanya sejak bila pihaknya mengesan kedua-dua parti Islam ini mampu menjalinkan kerjasama yang baik, beliau berkata, keadaan itu jelas apabila banjir yang berlaku di Kelantan yang mana Kerajaan Negeri Kelantan dan Kerajaan Persekutuan boleh duduk berbincang bersama demi kebaikan rakyat.

“Selepas itu kita tengok, Umno juga tidak meletakkan calon dalam PRK Dun Chempaka. Terbaru kejadian gempa bumi di Sabah, walaupun pertemuan antara Abdul Hadi dan (Timbalan Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin Yasssin tidak dirancang, namun mereka masih boleh berbual mesra, ada hikmah di situ,” katanya.

Isu kerjasama sama antara Pas dan Umno sudah mula diperkatakan sejak tahun lalu lagi, namun kerjasama itu mula kelihatan apabila kerajaan negeri Kelantan sedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk membangunkan semula negeri itu sebaik ditimpa musibah.

Isu itu semakin hangat diperkataan apabila hubungan Pas dan rakan dalam PR khususnya DAP semakin renggang apabila Pas bertegas meneruskan agenda mereka melaksanakan hudud dan Umno sedia untuk membantu Pas.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.