Followers

Monday, June 8, 2015

PAS hanya marah DAP bukan PKR, kata ketua Dewan Ulama

 
 PAS hanya marah DAP bukan PKR, kata ketua Dewan UlamaPerasaan marah PAS hanya ditujukan kepada DAP, namun tidak PKR menyebabkan parti Islam itu memutuskan 'tahaluf siyasi' dengan parti demokratik itu tetapi masih kekal dalam Pakatan Rakyat (PKR), kata Datuk Dr Mahfodz Mohamed. 
 
Ketua Dewan Ulama parti itu berkata, walaupun PKR juga turut tidak bersetuju dengan hudud, tindakannya tidak 'sekeras' apa yang dilakukan DAP.

"Sebab itulah kita merasakan masih perlu bersama dalam PR, khususnya PKR. Usul ini pandangan Dewan Ulama, tidak tahu sama ada akan diterima atau tidak," katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama Utusan Malaysia edisi mingguan hari ini.

Kenyataan beliau itu dipercayai bagi menjelaskan keputusan Dewan Ulama dalam muktamar tahunannya minggu ini menghentikan hubungan dan kerjasama dengan DAP sepertimana diusulkan oleh Ketua Dewan Ulama PAS Pahang Mokthar Senik.

Mahfodz berkata kepada akhbar milik Umno itu, walaupun 2 parti itu tidak berkongsi dasar yang sama, PAS lebih senang berunding dengan PKR mengenai sebarang isu termasuk hakikat yang kepimpinan tertinggi parti berkenaan dipegang Melayu Islam.

"Walaupun dasar PKR tidak sama dengan dasar PAS, tetapi DAP lebih keras penentangannya terhadap hudud. Kebetulan pula PKR masih dikuasai oleh orang Melayu Islam.

"Kalau dengan PKR, kita boleh berunding, tetapi dengan DAP, mungkin tidak boleh berunding," katanya.

Malah beliau turut mengakui kemenangan golongan ulama dalam pemilihan PAS, yang dianggap mencipta 'gelombang' oleh ahli parti, sebagai tindak balas kepada 'kebiadaban' DAP terhadap presiden parti Islam Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


"Hari ini apabila DAP menghentam Hadi dan PAS, maka Dewan Ulama rasa bertanggungjawab untuk kita beri respons kepada mereka," katanya.

Belia berkata, ia termasuk keputusan meluluskan usul itu sebulat suara tanpa bantahan, menjadikannya satu amaran kepada DAP supaya berhenti menyerang PAS.

"Tujuan kita untuk DAP berhenti daripada cakap-cakap perkara itu. Tutup mulut mereka sedikit.

"Nampaknya mesej kita dah sampai. Lim Guan Eng pun dah nampak senyap sikit," katanya dipetik berkata kepada akhbar itu.

Mahfodz dilaporkan berkata, beliau difahamkan, usul memutuskan kerjasama politik dengan DAP akan diluluskan kepimpinan tertinggi parti tanpa dibahaskan.

Dalam wawancara tersebut, beliau juga menyentuh mengenai kemenangan majoriti golongan ulama yang disifatkannya memudahkan kerja presiden.

Katanya, selepas ini Hadi akan lebih senang membuat keputusan menyentuh dasar parti berbanding sebelum ini di mana beliau mengalami kesukaran berbuat demikian. – TMI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.