Followers

Thursday, June 25, 2015

Pakatan 2.0 bakal ganti Pakatan Rakyat FMT Reporters

 
teresa-kok

Teresa Kok mendedahkan perkara itu menerusi status Facebooknya pada 23 Jun lalu.

PETALING JAYA: Pakatan 2.0 bakal menggantikan Pakatan Rakyat (PR) yang diisytiharkan secara rasmi sudah tidak wujud lagi.

Penubuhan Pakatan 2.0 itu dibayangkan Teresa Kok menerusi status di laman sosial Faceboknya pada 23 Jun lalu.

Ahli Parlimen Seputeh itu mendedahkan rancangan penubuhan Pakatan 2.0 selepas majlis berbuka puasa di kediaman Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar.

Antara yang hadir ialah kumpulan progresif dalam Pas yang kalah dalam pemilihan baru-baru ini antaranya Salahuddin Ayob, Mohamad Sabu, Dr Zulkeply Ahmad, Suhaizan Kaiaat, Wan Aishah Wan Ariffin, Datuk Dr Mujahid Yusof dan Dr Hatta Ramli.

Beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga hadir termasuk Datuk Saifuddin Nasution, Datuk Johari Abdul, Shamsul Iskandar, Khalid Jaafar, Tian Chua dan Dr Syed Husin Ali.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan beberapa pemimpin DAP lain turut kelihatan dalam gambar yang dimuat naik oleh Teresa Kok itu.

“Walaupun keputusan Muktamar Pas untuk putus hubungan dengan DAP telah mematikan Pakatan Rakyat tetapi malam ini nampaknya memberi harapan penubuhan Pakatan 2.0,” tulis Teresa Kok.

Pengakuan itu menguatkan lagi kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini berkata pakatan pembangkang akan muncul semula dengan kerja sama yang lebih kuat dan kukuh.

Ini bermakna Pas yang didominasi kumpulan pro ulama akan ditinggalkan bersendirian oleh DAP dan PKR.

Situasi itu sudah pasti mencampakkan PKR dalam keadaan serba salah kerana sebahagian pemimpin parti itu lebih memihak kepada Pas.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.