Followers

Friday, June 26, 2015

Najib juga wajar DISIASAT isu hartanah Mara

 
Najib juga wajar DISIASAT isu hartanah MaraKUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu disiasat berhubung skandal pembelian hartanah di Melbourne, Australia oleh anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (Mara), Mara Inc, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin berkata pihak polis perlu mengambil serius terhadap pendedahan Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa bahawa urus niaga tersebut diluluskan sendiri oleh Najib selaku Pengerusi Majlis Ekonomi.

"Kita minta Perdana Menteri mesti bersedia untuk disiasat. Kita harap pihak polis tanpa mengira setinggi mana pangkat seseorang itu mesti bersedia untuk menyiasat," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Dang Wangi, di sini, hari ini.

Semalam, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata Mara akan mengadakan mesyuarat khas bagi meneliti pembelian blok apartmen Dudley International House yang dijadikan asrama pelajar tajaan agensi kerajaan itu sepertimana yang dilapor akhbar The Age.

Akhbar Australia The Age mendakwa sekumpulan pegawai Mara yang amat kaya, menggunakan dana pelaburan kerajaan Malaysia, untuk membida harga blok apartmen itu daripada AS$17.8 juta (RM51.5 juta) kepada A$22.5 juga (RM65 juta).

Pembelian hartanah itu yang jauh lebih tinggi dari harga pasaran didakwa dijadikan sebagai rasuah dalam urus niaga tersebut.

Walau bagaimanapun, Najib telah menafikan dakwaan bahawa beliau telah meluluskan pembelian hartanah tersebut dan menegaskan media telah manipulasi kenyataan sidang media Annuar.

Mengulas lanjut, Hanipa juga berkata pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menyiasat bersama skandal tersebut selepas pendedahan dibuat oleh akhbar antarabangsa itu.

"Saya fikir polis dan SPRM boleh menyiasat serentak sebab isu penipuan itu di bawah bidang kuasa polis, di bawah seksyen 4, 2420, begitu juga dengan kes pecah amanah pun di bawah polis.

"Saya rasa tiada masalah untuk polis siasat, kita tak mahu guna birokrasi untuk menyiasat kes ini dan Kita harap pihak polis juga mengambil masa yang cepat, tak perlu berdolak-dalih lagi," katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad menegaskan pendedahan Annuar itu seolah-olah urus niaga itu tidak menyalahi undang-undang.

"Ia menjadi tanda tanya sejauh mana ianya merupakan satu amalan biasa dalam pentadbiran Umno-BN.

"Kekayaan negara dapat dibelanja dengan sewenang-wenangnya, membeli atas alasan membeli aset, tetapi dibeli pada harga yang RM13 juta melebihi harga pasaran," katanya lagi. - SH


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.