Followers

Thursday, June 25, 2015

Lampu Potret Dr M Di HQ Umno 'Padam' Tarik Perhatian



Potret tujuh orang presiden Umno menarik perhatian pengunjung di Pusat Dagangan Dunia Putra malam ini apabila potret seorang daripadanya gelap dan tidak kelihatan.

Potret enam yang lain di hadapan Dewan Tun Razak diterangi lampu tapi lampu bagi potret Tun Dr Mahathir Mohamad satu-satunya yang tidak menyala.

Menurut seorang anggota polis penjaga di kawasan itu, lampu tersebut ‘terbakar’ dan masih belum diganti dengan mentol baru.

“Baru terpadam, masih belum diganti,” katanya kepadaMalaysiakini.

Secara kebetulan atau sebaliknya, beberapa pengguna media sosial tertanya-tanya sama ada ini mencerminkan perkembangan semasa, ekoran bekas perdana menteri itu lantang mengkritik kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Antara lain, Mahathir mempersoal ke mana perginya dana 1MDB, dan meramalkan Najib akan kalah dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang sekiranya tidak meletak jawatan.

Bangunan milik Umno itu juga menjadi tempat dialog 'Nothing2Hide' yang dijadual berlangsung pada 5 Jun, di mana Najib sepatutnya menjelaskan kepada NGO mengenai kontroversi 1MDB itu, tetapi Najib tidak hadir.

Berikutan itu, penganjur acara itu menjemput Mahathir berucap kepada 1,500 hadirin yang pada mulanya datang untuk mendengar ucapan perdana menteri.


Sebelum itu, ramai petugas media berada PWTC untuk menghadiri majlis berbuka puasa media anjuran Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Selepas majlis itu tamat, mereka yang meletak kenderaan di kawasan tersebut berhenti untuk melihat potret tersebut serta merakam gambar terbabit.

Pada kira-kira tengah malam, Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafli memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa kerosakan lampu itu telah dibaiki.

- mkini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.