Bagi pemerhati dan penganalisis yang mengikuti perkembangan dalam PAS
secara neutral, agak sukar untuk tidak berasa sedih apabila melihat
perkembangan yang berlaku dalam Muktamar PAS ke-61 yang baru
berlangsung.
Hal
lebih dirasakan apabila seseorang mengikuti dengan lebih dekat
dan menyaksikan sendiri muktamar yang berlangsung selama tiga hari itu.
Pergelutan kuasa yang berlaku sekian lama antara kem agamawan dan kem
progresif menemui penamatnya dengan penguasaan menyeluruh kem agamawan.
Di sebalik semua label dan alasan ketidaksenangan yang dimomokkan terhadap golongan progresif ini, tidak ada
yang dianggap lebih berperanan penting selain “kesombongan”.
Kesombongan merupakan faktor yang menggarisbawahkan keterpinggiran
golongan progresif ini dalam PAS.
Kebolehan dan keupayaan yang dimiliki golongan progresif.
menyebabkan pemimpin-pemimpin progresif seperti ini tidak
langsung dihargai walaupun merekalah yang memainkan peranan signifikan
dalam meletakkan PAS ke kedudukan sekarang.
Kesombongan menyebabkan fitnah dan tuduhan palsu dibenarkan dijaja dan
dibenarkan berleluasa. Kempen yang berlangsung seakan-akan menghantar
mesej yang “tidak mengapa berbuat sedikit kejahatan dengan maksud untuk
mengekang kejahatan yang lebih besar”.
Mengejutkan apabila diktum seperti ini diamal dan dipraktikkan secara
meluas dalam pemilihan yang berlangsung. Sekian lama pegangan
Machiavelli ini hanya hidup subur dalam Umno.
Apabila lawan jatuh, maka
tindakan seterusnya bukanlah berhenti tetapi terus memijaknya. Kini, PAS
juga kelihatan amat ghairah untuk menginstitusikan kesombongan seperti
ini.
Kerana sombong, PAS tidak dapat lagi melihat secara rasional mana kaca
dan mana permata. Bukan sahaja mereka menyingkirkan tenaga intelektual
yang merupakan aset berharga parti, tetapi juga menghantar mesej yang
“kami tidak memerlukan pengetahuan ilmu moden dan bantuan kaum-kaum lain
untuk mentadbir negara”.
Kesombongan menyebabkan PAS mahu menoleh
semula ke belakang sedangkan dunia sudah jauh bergerak ke hadapan.
Kesombongan menyebabkan PAS masih mahu berpegang pada Islamisme
sedangkan dunia sedang bergerak ke arah pasca Islamisme. Kesombongan
menyebabkan apa sahaja idea-idea yang bertentangan dilihat sebagai
ancaman dan bukan sebagai kelainan.
Tidak ada ruang untuk berbeza pendapat. Kerana sombong dan tidak mahu
menerima kelemahan diri, apa jua alasan cuba dihamburkan bagi menutup
pembersihan yang berlaku.
Sebagai contoh, penegasan yang yang parti itu masih mempunyai golongan
profesional seperti pensyarah walaupun kumpulan progresif ini
tersingkit.
Tetapi profesional bukan sekadar dilihat dari segi status
pekerjaan. Ia juga dicerminkan kepelbagaian ideologi, keterbukaan,
kemahuan berbeza pandangan dan dekat dengan kemodenan.
Bagi yang mengikuti secara dekat muktamar yang berlangsung selama tiga
hari, kesombongan adalah bahasa badan yang paling menonjol terpapar.
Dalam bentuk pengendalian muktamar yang jelas menampakkan kecondongannya
pada ideologi semasa, dalam bentuk laungan takbir yang dikhususkan
hanya untuk perwakilan-perwakilan pro-agamawan, dalam bentuk wajah
beberapa pemimpin tertinggi PAS yang amat ketat dan tidak langsung
pernah tersenyum, dalam bentuk sorakan sindiran yang tidak putus-putus
ditujukan kepada golongan progresif yang berucap dan sehinggalah kepada
kehilangan suasana kesedihan yang sewajarnya dirasakan berikutan
kepergian golongan progresif ini dari parti.
Tangisan Hanipa Maidin dan juga nyanyian melankolik Mohamad Sabu hanya
mampu mengheningkan suasana tetapi tidak mampu membuatkan mana-mana
perwakilan untuk bangun memujuk atau menahan keputusan beliau yang ingin
meletakkan jawatan dari semua jawatan yang disandangnya.
Bahasa badan
yang ditunjukkan bukan sahaja melengkapkan pembersihan yang berlaku
tetapi semacam menghantar mesej “jika boleh, kami tidak mahu lagi kamu
kembali di sini”.
Apa yang berlaku dalam Muktamar PAS 61 adalah tragedi sebuah
kesombongan. Sombong dengan kekuatan diri dan lantas menjadi taksub dan
narsistik. PAS seperti seorang suami yang baru mendapat “isteri kedua”
yang kaya, cantik dan berpendidikan.
Tetapi apabila jatuh sakit, isteri
pertama yang tua dan kurang cantik yang sering dicari untuk menjaga si
suami kerana isteri kedua tadi rupanya tidak boleh diharapkan.
Kesombongan menyaksikan kapal Titanic karam walaupun dianggap sebagai
kapal yang tidak akan karam. Kesombongan membuka jalan kepada tragedi
9/11 di Amerika Syarikat. Kesombongan jugalah yang kini menjadikan Umno
terumbang-ambing.
Muktamar PAS menyarankan yang kesombongan merupakan nilai yang kini
menjadi virtue dalam parti tersebut. Kesombongan yang wujud dalam PAS
amat menakutkan dan lebih menakutkan dari kesombongan Umno.
Dalam mana
golongan ini sering mengkritik keangkuhan kuasa Umno, mereka terlupa
untuk menyelak kesombongan diri sendiri.
Benarlah kata-kata tokoh revolusi Poland, Lech Walesa yang mengingatkan
tentang kewujudan pemimpin yang menghasilkan sistem dan kepimpinan yang
lebih buruk (dibaca: lebih sombong) selepas menggulingkan sistem yang
mereka tentang sebelum itu.
Ironinya, kesombongan ini seolah-olah hanya disedari wakil DHPP yang
bukan beragama Islam apabila menyatakan kejutannya terhadap kebejatan
yang berlaku. Untuk wakil DHPP ini, pertimbangkan logik ini.
Jika
kesombongan seperti ini boleh dilakukan terhadap saudara seagama mereka,
adakah anda merasakan yang mereka akan berfikir dua kali untuk
melakukan kesombongan yang serupa kepada mereka yang bukan seagama?
Tahniah sekali lagi kepada PAS. Gunakanlah "cakaran", "siku", "lutut" (dan juga laungan takbir) itu sebaik mungkin.
■ Oleh Muhamad Takiyuddin Ismail
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.