Followers

Monday, June 29, 2015

Helikopter yang dinaiki Zahid dilapor hadapi kesukaran mendarat - FMT Reporters

 
Zahid Hamidi

Juruterbang membuat keputusan untuk tidak mendarat kerana keadaan padang yang becak yang boleh menganggu kestabilan helikopter apabila mendarat.

PETALING JAYA: Helikopter yang dinaiki Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didakwa berhadapan masalah dan terpaksa berlegar-legar di ruang di Pulau Sebatik, Kalimantan.

Akhbar harian Indonesia, Kompas melaporkan, dalam kejadian pada Ahad itu, helikopter berkenaan kelihatan menghadapi kesukaran mendarat dan menarik perhatian anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang bersiap sedia memberi bantuan.

Bagaimanapun, helikopter itu tidak mendarat di kawasan padang yang dikhaskan dan terbang ke destinasi lain, lapor akhbar berkenaan.

Sementara itu, FMT menghubungi KDN untuk mendapatkan pengesahan tentang kejadian itu.

Setiausaha Akhbar Zahid, Brig. Jen. Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican berkata, helikopter yang dinaiki Zahid dalam keadaan baik dan tidak menghadapi masalah seperti yang dilaporkan.

Katanya, helikopter berkenaan gagal mendarat di lokasi yang ditetapkan disebabkan keadaan padang yang becak yang boleh menyebabkan helikopter tidak stabil sebaik mendarat.

“Juruterbang juga merasakan pakaian Menteri akan basah kerana terkena percikan air becak dari padang yang basah itu.

“Juruterbang telah meminta keizinan daripada Menteri untuk beredar dari situ dan cadangan itu telah dipersetujui.

“Helikopter itu kemudiannya beredar dan menuju ke destinasi seterusnya ke Pulau Nyamuk,” katanya.

Fadzlette berkata, Zahid sedang dalam lawatan kerja untuk meninjau semua balai polis di pedalaman Sabah.

Beberapa balai polis sempat dikunjungi Zahid pada sesi lawatan itu yang menggunakan helikopter jenis AS355N Ecureuil milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.