Followers

Saturday, June 20, 2015

GAMIS desak sembilan Naib Canselor letak jawatan Adam Abu Bakar

 
gamus_600

GAMIS turut melahirkan rasa terkilannya dengan sikap pihak pentadbiran universiti terbabit yang seolah-olah menutup sebelah mata mengenai ketirisan yang berlaku.

PUTRAJAYA: Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) mendesak supaya Naib Cancelor sembilan buah universiti tempatan yang ditegur oleh Ketua Audit Negara ekoran kelemahan urus tadbir kewangan meletak jawatan.

Timbalan Presidennya, Ahmad Fahmi Mohktar menyifatkan ia sebagai satu perkara yang sangat menjijikkan apabila ia melibatkan institusi pengajian tinggi.

“Universiti selalu mendidik kami (mahasiswa) untuk melakukan kebaikan, tetapi mereka pula yang melakukan ketirisan,” ujarnya dalam sidang media pada Jumaat.

Pada masa sama, GAMIS turut melahirkan rasa terkilannya dengan sikap pihak pentadbiran sembilan buah universiti terbabit yang seolah-olah menutup sebelah mata mengenai ketirisan yang berlaku.

“Sebaliknya, pihak universiti sering campur tangan mengenai aktiviti aktivis mahasiswa,” katanya lagi.

Sebelum itu, GAMIS yang diwakili oleh Pengerusi Majlis Politik Malaysia, GAMIS, Saiful Mujahid Mohd Fadzil menyerahkan memorandum kepada Pegawai Unit Korporat Komunikasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Syazrah Nazuha Husin.

Selain menuntut Naib Cancelor meletakkan jawatan, GAMIS juga mendesak supaya pihak pengurusan universiti mengeluarkan penyata yang telah diaudit serta laporan aktiviti dengan kadar segera.

“Kita mendesak supaya peranan dan tanggungjawab universiti sebagai badan berkanun dikembalikan,” kata Saiful.

Sebelum ini, dalam Laporan Ketua Audit Negara 2014 siri 2 telah membuat teguran terhadap sembilan universiti awam membabitkan pengurusan perolehan.

Ia merangkumi proses perolehan perkhidmatan atau barangan yang tidak mengikut tatacara perolehan secara sebut harga, perolehan dipecah kecil, kelewatan kontrak, kelewatan sesuatu projek disiapkan dan tempoh lanjutan sesuatu kontrak.

Sembilan universiti terbabit adalah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.