Followers

Tuesday, June 9, 2015

Empat maut dalam nahas dan lemas

 
 
 
 
Empat orang maut - dua dalam nahas jalan raya dan dua lagi lemas - dalam dua kejadian di Selangor dan Johor semalam.

Dalam kejadian pertama dua saudara maut selepas kenderaan yang dipandu hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah lori di Kilometer 112.3 Lebuh Raya Utara-Selatan, berdekatan Yong Peng, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Din Ahmad berkata kedua-dua mangsa dikenali Mohammad Nawawi Zulkifli, 22, dan Nurul Jannal Osman, 28 tahun.

Din berkata kejadian berlaku kira-kira 9 pagi apabila Mohammad Nawawi yang memandu dari arah Pagoh menuju ke Yong Peng gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh belakang sebuah lori yang bergerak perlahan di lorong sama.

Akibat rempuhan, Mohammad Nawawi dan saudara perempuannya itu mati di tempat kejadian manakala pemandu lori berkenaan pula, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat kedua mangsa telah dihantar Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk dibedah siasat, katanya.

Menurut Din, hasil siasatan awal mendapati kenderaan tidak mengalami masalah kerosakan brek dan cuaca dilaporkan baik semasa kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta pengangkutan Jalan 1987.

Dalam satu lagi kejadian, dua pelajar lelaki sebuah institusi pengajian tinggi swasta di sini lemas manakala tiga rakan mereka terselamat dalam kejadian yang berlaku di kawasan perkelahan Sungai Pertak, Kuala Kubu Baharu, Selangor petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai W. Kevin Raj dan L. Viknesh setelah gagal diselamatkan oleh rakan-rakan mereka.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Baharu P. Kiretharan berkata ketika kejadian kelima-lima pelajar terbabit sedang bermandi manda sebelum
kesemuanya tenggelam timbul akibat paras air yang dalam.

"Salah seorang darinya yang mahir berenang telah menyelamatkan dua rakannya manakala dua lagi gagal diselamatkan lalu tenggelam pada kedalaman air sehingga tujuh meter," katanya kepada Bernama.

Menurutnya, penduduk yang menyedari kejadian itu telah bertindak menghubungi pihak bomba sebelum 14 anggota dari Pasukan Khas dan Operasi bergegas ke lokasi kejadian.

Jelasnya, mayat mangsa pertama ditemui kira-kira 4.08 petang semalam manakala mangsa kedua dijumpai 13 minit kemudian.

"Mayat kedua-duanya telah diserahkan kepada pihak polis," katanya.

Menurutnya kelima-limanya berusia dalam lingkungan 23 tahun hingga 25 tahun serta berasal dari Puchong.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt. R.Supramaniam berkata, mayat kedua-duanya telah dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baharu untuk bedah siasat.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.