Followers

Thursday, June 4, 2015

Bayaran balik hutang tidak selesai masalah 1MDB- Tun M

 

Kerajaan perlu mendapatkan semula wang yang telah hilang kerana ada pihak yang tidak bercakap benar walaupun tahu dimana dan siapa yang memiliki wang 1MDB.

PETALING JAYA: Pelan pembayaran balik pinjaman bank tidak akan menyelamatkan 1MDB daripada tanggung jawab kerana menyebabkan kehilangan wang.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pihak-pihak tertentu enggan memberitahu perkara sebenar walaupun tahu di mana wang itu dan siapa yang memiliki wang itu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Husni Hanadzlah sebelum ini berkata, 1MDB perlu menyelesaikan hutang itu menerusi pelan rasionalisasi tanpa melibatkan bantuan kerajaan.

Husni berkata, sekiranya kerajaan menanggung hutang RM42 bilion kerana 1MDB gagal membayarnya, ia akan menyebabkan kadar defisit negara ini meningkat.

Dr Mahathir menerusi entri terbaru di blognya berkata, pelan pemulihan itu tidak mampu menyelesaikan masalah 1MDB yang menyebabkan kerajaan kehilangan berbilion ringgit.

Katanya, terlalu banyak bukti kehilangan wang yang telah ditutup oleh ahli politik dan pegawai kerajaan.

katanya, beliau percaya perbuatan itu akan terbongkar jika Datuk Seri Najib Tun Razak kalah pada Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14).

“Jika Najib kalah yang saya percaya pada pilihan raya nanti, tindakan undang-undang tidak lagi boleh dihentikan.

“Saya berharap pelan pemulihan dapat menyelesaikan masalah sekurang-kurangnya mendapatkan semula wang yang telah hilang namun pembayaran balik hutang tidak akan membebaskan sesiapa daripada tanggung jawab,” katanya.

Mengulas perjanjian perniagaan antara 1MDB dengan International Petroleum Investment Company (IPIC), Dr Mahathir berkata, perjanjian itu akan menyebabkan kerugian besar kepada 1MDB dan kerajaan Malaysia.

Katanya, 1MDB akan dikawal oleh IPIC, pembangunan mana-mana tanah milik 1MDB akan memberi manfaat kepada IPIC dan kerajaan Malaysia kerugian besar kerana harga tanah di Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia (TUDM Sg Besi) dibeli oleh 1MDB pada harga di bawah pasaran.

Menerusi perjanjian perniagaan itu, IPIC memberi suntikan modal berjumlah USD1 bilion atau RM3.6 bilion untuk membolehkan 1MDB membayar hutang kepada konsortium bank yang diketuai Deutsche Bank.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.