Followers

Sunday, June 7, 2015

Apabila ‘pahlawan Bugis’ dimalukan di gelanggang sendiri Oleh Amin Iskanda.

 Apabila ‘pahlawan Bugis’ dimalukan di gelanggang sendiri

Siapa menyangka akan tiba harinya, anak kepada Tun Abdul Razak Hussein, perdana menteri kedua yang mempunyai legasi besar di Malaysia akan menjadi bahan lawak terbesar negara.

Datuk Seri Najib Razak, kini digelar “pahlawan Bugis” berikutan ucapannya dalam beberapa siri jelajah negara, dilawakkan kerana kegagalannya untuk hadir dalam dialog “Nothing to Hide” pada Jumaat lalu yang turut dihadiri musuh ketatnya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Difahamkan, dialog anjuran SukaGuam itu dianjurkan atas arahan kumpulan Najib sendiri.

Di Sarawak baru-baru ini, Najib berkata: "Saya tidak akan patah semangat, darah dalam diri saya ini bukan darah sembarangan, saya mungkin dilihat ada kalanya bersemangat diplomatik, tapi semangat  kepahlawanan tetap ada dalam diri saya,” kata Najib menjawab serangan Dr Mahathir.

Namun apabila Najib gagal hadir ke dialog yang seharusnya menjadi medan untuk menjelaskan berkenaan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), presiden Umno itu diperlekehkan.

Di media sosial seperti Facebook dan Twitter, masih belum berhenti orang ramai mempersendakan dan menyindir perdana menteri kerana gagal hadir ke dialog yang diadakan di “gelanggang”nya sendiri, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

“Takde telur” kini menjadi ungkapan paling popular walaupun Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bersungguh-sungguh cuba mempertahankan ketidakhadiran Najib disebabkan “ancaman keselamatan serius”.

Persepsi orang ramai pada ketika ini ialah Najib takut untuk berdepan dengan Dr Mahathir, walaupun bekas perdana menteri itu kini tidak mempunyai apa-apa kuasa.

Lebih memalukan lagi, di PWTC itu juga terletaknya ibu pejabat Umno di mana Najib sendiri merupakan presidennya.

Daripada segi sejarahnya, mengikut laman sesawang rasmi PWTC, keputusan untuk membina ibu pejabat parti itu diputuskan semasa ayah Najib menjadi presiden Umno.

Ibu pejabat Umno itu akhirnya disiapkan ketika Dr Mahathir menjadi presiden.

Dan di situlah, Dr Mahathir yang berucap kerana Najib gagal hadir dihentikan dan dimatikan mikrofon oleh polis sebaik saja beliau menyebut nama hartawan muda Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho.

‘Saham’ Dr Mahathir meningkat

Peristiwa polis menghentikan ucapan bekas perdana menteri yang hampir berumur 90 tahun itu meningkatkan lagi sokongan rakyat terhadapnya.

Walaupun ada sesetengah pihak mengatakan Dr Mahathir terkena “hukum karma” akibat peristiwa yang berlaku ketika beliau berkuasa, sebenarnya lebih ramai bersimpati kepadanya.

Seperti dikatakan bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin:“Simpati pada Mahathir tiba-tiba memuncak pantas seperti kilat ke seluruh negara menjadi virus atau wabak  kemarahan kepada Najib kerana  tajuk forum ‘Nothing to Hide’ begitu berkesan dalam menarik perhatian dan harapan rakyat untuk mendengar keterbukaan Najib.

“Pertanyaan popular sehingga pagi ini dari peringkat anak muda hingga ketua dari rakyat berbagai kaum ialah: Kenapa mereka buat begitu pada Mahathir, kasihan dia sudah tua, dia pemimpin yang dihormati, orang Malaysia hormat warga tua dan sebagainya”.

Mengapa Dr Mahathir kini sangat dihormati walaupun ada yang menganggapnya diktator satu ketika dulu?

Selain isu 1MDB, Dr Mahathir turut menyuarakan tentang kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shariibuu yang sehingga kini masih belum terungkai misterinya.

Dr Mahathir turut menyuarakan keresahan rakyat bawahan seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Isu-isu dibangkitkan Dr Mahathir itu walaupun sudah lama dibangkitkan pemimpin pembangkang, “bisanya berbeza”.

Dr Mahathir turut bersuara ketika wartawan ditangkap polis baru-baru ini hanya kerana melaporkan berita.

Walaupun beberapa pihak sinis tentang kebebasan media di zamannya, itu tidak penting kerana kita sedang bercakap tentang sekarang dan bukannya dahulu.

Akhirnya di mata orang ramai, jelaslah siapakah yang benar-benar pahlawan. Walaupun tiada pemimpin Umno arus perdana yang berani bersamanya, di mana sahaja Dr Mahathir muncul, ramai menyerbunya.

Ternyata suara Dr Mahathir sampai kepada rakyat walaupun media arus perdana menggelapkan berita mengenainya.

Kerana Dr Mahathir kini membawa api perlawanan. - TMI

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.