Followers

Sunday, June 21, 2015

Adun Pakatan Selangor mungkin lompat parti

 



Krisis hubungan Pakatan Rakyat (PR) dijangka bertambah parah apabila timbul ramalan mengatakan berlakunya lompat parti di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) supaya PKR dapat mengekalkan kuasa mentadbir negeri.

Akhbar Sinar Harian memetik penganalisis politik Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata, pentadbiran PKR dengan sokongan DAP meletakkan parti itu berada pada majoriti mudah.

Namun, katanya, kedudukan itu tidak selesa kerana majoritinya terlalu kecil.

"Budaya tawar menawar akan berlaku, lebih buruk lagi akan ada yang lompat parti," Samsul dipetik berkata akhbar itu.

Beliau menolak andaian PKR akan membubarkan DUN bagi mengelakkan berlakunya "krisis MB 2.0", merujuk kepada krisis menteri besar kedua selepas Selangor tahun lepas, malah krisis dalaman PAS dan DAP juga tidak akan selesai.

Katanya, membubarkan DUN akan melibatkan kos besar, menyebabkan PKR tiada pilihan kecuali mentadbir dengan kerusi majoriti mudah.

"Walaupun situasi sekarang agak mengelirukan susulan pembubaran PR, namun DUN masih boleh berjalan dengan majoriti mudah," katanya.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali kelmarin menolak dakwaan pihaknya akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menjelaskan kedudukan politik semasa selepas PR diisytiharkan bubar.

Katanya, institusi istana tidak seharusnya diheret dalam pentadbiran kerajaan negeri dan institusi berkenaan sewajarnya dihormati.

“Tidak ada keperluan. Jangan heret istana dalam krisis politik. Kita kena menghormati institusi diraja," kata Azmin. – tmi

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.