Followers

Wednesday, May 27, 2015

TERKINI ! Tan Sri Muhyuhddin Yassin Bakal Mengambilalih Kerusi PERDANA MENTERI?

1MDB - Tumpuan Kini Beralih Kepada Muhyiddin

Setelah berbulan-bulan Najib Razak menjadi bahan asakan mengenai 1MDB dan semua persoalan hanya ditujukan kepadanya untuk memberikan jawapan, kini nampaknya giliran Muhyiddin Yassin sebagai orang nombor dua dalam parti dan kerajaan pula harus menjawab mengenai pendiriannya.

Atas kedudukannya sebagai salah seorang anggota kabinet yang memikul konsep tanggungjawab bersama, semua persoalan yang berlaku dalam negara tidak membenarkan mereka memilih untuk berdiam diri atau memberitahu tidak tahu mengenainya.

Jika sebagai Timbalan Presiden UMNO, sebagaimana ucapannya dalam video yang sudah tersebar luas, Muhyiddin mahukan Lembaga Pengarah 1MDB dipecat dan disusuli dengan tindakan polis melakukan penyiasatan, begitu juga ketika menyatakan sokongan kepada Najib dalam mesyuarat MT UMNO, pendirian beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri sebenarnya lebih ditunggu-tunggu memandangkan kemelut dalam syarikat pelaburan itu telah menimbulkan kebimbangan kepada seluruh rakyat.

Ini kerana berbanding pendiriannya dalam UMNO yang hanya mewakili kepentingan 3.6 juta ahli, kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah mewakili lebih 30 juta rakyat keseluruhannya.

Dua hari lalu, Tengku Razaleigh Hamzah telah menyatakan bahawa persoalan 1MDB tidak seharusnya menjadi beban kepada Najib seorang, tetapi keseluruhan anggota kabinet mesti memikulnya bersama.

Katanya, dengan kedudukan kabinet yang memikul tanggungjawab bersama mewakili kepentingan rakyat, tidak harus ada mana-mana anggotanya mengatakan mereka tidak tahu atau tidak terlibat dalam kemelut 1MDB ini.

Sebagai anggota veteran UMNO yang pernah meletakkan jawatan dalam kabinet kerana tidak bersetuju dengan kepimpinan dan beberapa dasar Tun Mahathir pada 1986, pandangan Tengku Razaleigh ternyata ada benarnya, lebih-lebih lagi beliau telah menunjukkan teladan dalam hal itu.

Pengerusi BNBBC, Shahrir Samad turut bersetuju dengan pandangan Tengku Razaleigh itu, malah menambah jika mereka tidak tahu atau tidak faham mengenai sesuatu itu, mereka patut bertanya lagi dan lagi sehingga benar-benar memahaminya.

Merujuk kepada keputusan kabinet sebelum ini yang bersetuju persoalan 1MDB diserahkan kepada Ketua Audit Negara dan PAC untuk penilaian akaun dan menentukan kecelaruannya, Shahrir menambah, menteri seharusnya meletakkan jawatan jika tidak bersetuju dengan keputusan kolektif yang telah dibuat.

Dalam masa yang sama, Shahrir yang dikenali sebagai penyokong Najib dan tidak sehaluan dengan Muhyiddin sejak dulu lagi, juga mahukan Timbalan Perdana Menteri menyatakan pendiriannya sebenarnya mengenai 1MDB ini.

Tidak diragui lagi, gesaan Shahrir ini adalah berkaitan dengan ucapan Muhyiddin dalam majlis tertutup UMNO di Janda Baik sebagaimana videonya telah tersebar luas dan juga kenyataannya di Milan, Italy yang menyatakan beliau menghadapi kesukaran menjawab mengenai 1MDB kerana tidak mengetahui banyak perkara mengenainya.

Apa yang terpampang selama ini lebih merupakan kenyataan Muhyiddin sebagai pemimpin UMNO berbanding kedudukannya sebagai anggota kabinet. Dan pendiriannya sebagai pemimpin UMNO itu jelas menggambarkan kebimbangan dan ketegasannya terhadap kemelut 1MDB itu.

Jika benar juga beberapa dakwaan bahawa banyak persoalan mengenai 1MDB selama ini tidak dibawa atau dimaklumkan kepada kabinet, menteri seharusnya bersikap lebih sensitif dan bertanyakan kepada Perdana Menteri berkaitannya.

Dengan pandangan Ku Li dan Shahrir bahawa anggota kabinet tidak boleh lepas tangan dalam isu 1MDB ini atau bercakap dengan nada berbeza sebagai pemimpin UMNO dan anggota kabinet, yang paling utama perlu tampil menyatakan pendiriannya ialah Muhyiddin sendiri.

Ini lantaran beliau terlihat paling lantang dan berbeza pendirian dengan Najib dalam isu 1MDB ini. Pendiriannya pula membawa nada harapan kepada rakyat.

Begitu juga dengan cadangannya agar Lembaga Pengarah 1MDB dipecat dan polis dibenarkan masuk menjalankan siasatan, Muhyiddin juga harus bertegas apakah beliau boleh berdiam diri saja walaupun tidak ternampak tanda-tanda Najib mahu mengambil kira pandangannya itu, meskipun berkedudukan nombor dua dalam parti.

Jika benar sebagai pejuang yang hanya takut kepada Allah saja, sebenarnya tiada ruang lagi untuk Muhyiddin terus berlengah dan "bermain selamat" dalam isu 1MDB ini. Setuju atau tidak setuju mesti dinyatakan dengan jelas dan tidak seharusnya keberanian bersuara hanya dalam parti tetapi dilihat berbeza sebagai anggota kabinet.

Selepas itu, rakyat akan menilai sama ada beliau sebenarnya takutkan Allah atau sayangkan jawatannya. (SH 27/05/2015)


Posted by Shahbudin Husin

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.