Followers

Sunday, May 24, 2015

Sukar tolak sokongan rakyat ketika didesak undur, kata Najib OLEH KC NAZARI


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak lewat ke program solidariti beliau selama 2 jam kerana menghadiri himpunan besar-besaran di mana 30,000 hadirin menyatakan sokongan mereka terhadap beliau.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak lewat ke program solidariti beliau selama 2 jam kerana menghadiri himpunan besar-besaran di mana 30,000 hadirin menyatakan sokongan mereka terhadap beliau.

Walaupun teruk diasak pengkritiknya dari pelbagai sudut yang mahukan beliau meletak jawatan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengakui berat hati untuk "menolak sokongan padu" dari penyokong-penyokongnya.

Beliau berkata demikian apabila terpaksa meminta maaf kepada hadirin program 'Solidariti 4 PM Najib' di Pekan, Pahang apabila tiba pada jam 1.30 tengah hari, lewat hampir 2 jam dari jadual program asal.

Beliau sebelum itu katanya, datang dari program di Gopeng, Perak yang menurutnya menarik kehadiran kira-kira 30,000 penyokong.

"Saya terpaksa mengubah suai program saya kerana pagi tadi, atas permintaan menteri besar Perak, diadakan satu himpunan besar-besaran, di mana 30,000 menyatakan sokongan padu kepada saya sebagai perdana menteri.

"Saya mohon maaf atas kelewatan saya kerana agak sukar bagi saya menolak permintaan tersebut," katanya pada program di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada hadirin program itu yang dianggapnya menyatakan sokongan kepada kepimpinan beliau.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir di sini terutama sekali yang membawa sepanduk menyatakan sokongan kepada saya.

"InsyaAllah berkat sokongan tuan tuan dan puan puan ini saya akan teruskan kepimpinan saya demi kepentingan rakyat dan negara," katanya.

Program Najib di Taman Tasik Sultan Abu Bakar itu dibuat sempena program Auto Gegar Ria yang berlangsung dari semalam hingga Ahad.

Namun, kehadiran Najib di kubu kuatnya ini tidak disambut pemimpin kanan Umno negeri, melainkan Ketua Pemuda Umno Pekan, Shahruddin Ahmad.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakub juga tidak hadir pada majlis ini dan berdasarkan cakap-cakap wartawan setempat, beliau "ke luar negeri" hari ini dan hanya akan kembali pada Isnin bagi menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri.

Shahruddin dalam ucapan alu-aluannya meniup semangat orang ramai agar terus menyokong kepimpinan Najib.

"Saya mewakili anak muda, seluruh warga Pekan, seluruh pengunjung yang hadir menyatakan sokongan penuh kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak.

"Sokong Najib! Sokong Najib!" laung Shahruddin yang pernah menjadi ketua pemuda negeri selama setahun pada awal 2014 apabila pelantikannya ditolak 11 ketua pemuda bahagian lain.

Najib dan Shahruddin bercakap di bawah khemah gergasi yang menggamit kehadiran sekitar 5,000 orang pengunjung program.

Najib kini dilihat mengadakan jelajah ke seluruh negara bagi meraih sokongan apabila dikritik teruk oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, antara lainnya berhubung operasi dana pelaburan strategik negara yang sarat dibebani hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu mesyuarat tertutup Umno baru-baru ini dilaporkan berkata, saranannya kepada Najib agar lembaga pengarah 1MDB dipecat, tidak dihiraukan perdana menteri itu.

Najib dalam programnya di Pahang turut dijadualkan bertemu Pemuda Umno negeri di lapangan terbang Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) sebelum berlepas ke Kuala Lumpur petang ini. – 23 Mei, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.