Followers

Tuesday, May 12, 2015

SPRM diarah bayar RM600,000 kepada keluarga Teoh Beng Hock OLEH JAMILAH KAMARUDIN


Keluarga Teoh Beng Hock menyaman 10 anggota pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan kerajaan Malaysia kerana cuai dan menggunakan kekerasan semasa mendiang dalam tahanan sehingga menyebabkan kematiannya pada 2009.

Keluarga Teoh Beng Hock menyaman 10 anggota pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan kerajaan Malaysia kerana cuai dan menggunakan kekerasan semasa mendiang dalam tahanan sehingga menyebabkan kematiannya pada 2009.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diarahkan membayar RM600,000 kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock selepas mengaku cuai sehingga menyebabkan kematiannya enam tahun lalu.

Peguam Gobind Singh Deo berkata, SPRM yang juga defendan dalam kes tuntutan saman itu turut diarahkan mahkamah untuk membayar RM60,000 sebagai bayaran kos.

Katanya, keluarga Teoh setuju dengan bayaran ganti rugi tersebut dan mereka berdiri teguh dengan keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini.

Mereka juga menuntut polis membuat siasatan lanjut dan membawa individu yang bertanggungjawab ke mahkamah, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Ini merupakan kemenangan besar kepada keluarga Teoh. Selepas 6 tahun memperjuangkan hak perundangan, mereka sekarang menerima pengakuan SPRM dan kerajaan yang bertanggungjawab di atas kematiannya.

"Kami akan terus mendesak polis bertindak dalam kes ini. Kami sudah melakukan segala yang mungkin dari segi undang-undang. Sekarang terpulang kepada polis melakukan apa yang perlu dan kami tidak akan berhenti menegakkan keadilan untuk Teoh," katanya.

Keluarga Teoh menyaman 10 anggota pegawai SPRM dan kerajaan Malaysia kerana cuai dan menggunakan kekerasan semasa mendiang dalam tahanan sehingga menyebabkan kematiannya pada tahun 2009.

Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong itu berkata, pihaknya mewakili Biro Guaman Nasional DAP mengambil kes Teoh secara percuma (pro bono) dan tidak mengambil sebarang bayaran daripada keluarga itu.

"Ini juga merupakan arahan daripada mendiang Karpal Singh, sebagai menghormati khidmatnya dalam kes ini sebelum beliau meninggal dunia tahun lalu," katanya.

Mahkamah Rayuan pada September tahun lalu mengetepikan keputusan koroner dalam inkues sebelum ini apabila memutuskan kematian Teoh bukan disebabkan bunuh diri, sebaliknya “seorang atau beberapa orang bertanggungjawab atas kematiannya”.

Teoh yang ditemui mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, merupakan pembantu kepada Exco Selangor Ean Yong Hian Wah daripada DAP.

Mendiang sebelum itu dipanggil ke pejabat SPRM bagi merekodkan keterangan atas dakwaan salah guna dana awam ke atas majikannya.

Satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) juga dibentuk, yang memutuskan Teoh tidak dibunuh, sebaliknya membunuh diri kerana taktik soal siasat yang agresif digunakan 3 pegawai SPRM.

RCI itu bagaimanapun hanya memberi tumpuan kepada prosedur soal siasat SPRM dan bukannya menyiasat kematian Teoh. – 12 Mei, 2015.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.