Followers

Monday, May 11, 2015

Semua parti komponen BN beri sokongan penuh kepada Najib, kata Musa


Sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bukan daripada Umno sahaja, sebaliknya sokongan padu dizahirkan semua parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman (gambar, kanan).

Beliau berkata, sokongan padu terhadap pemimpin nombor 1 negara itu disuarakan pemimpin parti komponen BN semasa perbincangan mereka baru-baru ini.

"Saya berbincang dengan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan beliau menyatakan sokongan padu terhadap Najib.

"Begitu juga dengan presiden parti komponen lain. Mereka turut menyuarakan sokongan tidak berbelah bagi terhadap perdana menteri," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Solidariti Rakyat Sabah Bersama Perdana Menteri di Padang Bandaran Tawau, di Tawau hari ini.

Musa juga berkata, semua pemimpin parti komponen BN di negeri ini sentiasa bekerjasama dan bersatu hati terhadap sesuatu perkara, termasuk untuk menyelesaikan sekiranya ada masalah yang timbul.

"Walaupun kadang-kadang ada permasalahan, kita akan bekerjasama dan berbincang untuk cuba mencari jalan penyelesaian... tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan," katanya.

Pada masa sama Musa meminta semua rakyat Sabah terus memberi sokongan dan sentiasa berdiri teguh di belakang pucuk pimpinan negara.

"Kerajaan memberi banyak peruntukan kepada Sabah termasuk peruntukan besar kepada Kawasan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), demi menjaga keselamatan di negeri ini.

"Oleh itu kita perlu bersyukur, setia dan memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada perdana menteri yang sentiasa prihatin, demi kesejahteraan seluruh rakyat Sabah," katanya.

Antara yang turut hadir dalam perhimpunan itu, 3 timbalan ketua menteri Sabah iaitu Pairin, Datuk Seri Yahya Hussin dan Datuk Raymond Tan Shu Kiah; Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan; Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, dan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri. – Bernama, 10 Mei, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.