Golongan mahasiswa Malaysia menggesa rakyat Indonesia menghentikan
semua aktiviti provokasi yang bertujuan menghina rakyat Malaysia kerana
perbuatan itu hanya memalukan negara sendiri.
Pelajar jurusan
Pengajian bahasa Inggeris Universitas Muhammadiyah Makassar Ahmad Afandi
Rasyid berkata, beliau yang pernah menjalani latihan amali di Johor
Bahru tahun lepas, kesal dengan sikap sesetengah rakyat Indonesia yang
membuat pelbagai provokasi terhadap rakyat Malaysia.
"Saya pernah
tinggal di Malaysia dan saya tahu hati budi orang Malaysia, kita
sepatutnya berfikir bagaimanakah untuk memperkukuhkan lagi hubungan
bangsa serumpun dan bukannya mencari sebab untuk menghina mana-mana
kaum," katanya kepada Bernama hari ini.
Ahmad Afandi yang juga
Pegawai Perhubungan Persatuan Bulan Sabit Merah Indonesia (PBSMI) cabang
Makassar berkata pelajar Malaysia di negara itu pula sering menjalankan
aktiviti untuk menabur budi dan jasa kepada rakyat Indonesia.
Sebanyak 30 pelajar perubatan Malaysia tahun akhir tajaan Majlis Amanah
Rakyat (Mara) dari Universitas Hasanuddin dengan kerjasama PBSMI di
Makassar menabur bakti kepada rakyat tempatan dengan menganjurkan
aktiviti pemeriksaan kesihatan dan berkhatan secara percuma.
Aktiviti yang mendapat sambutan lebih 500 penduduk di sekitar bandar
Makassar itu berlangsung di kampus Universitas Negeri Makassar di sini
dan dirasmikan wakil Datuk Bandar Makassar Kamaruddin Munde.
Pengerusi PBSMI cabang Makassar Sulfiadi Barmawi pula berkata, pelajar
jurusan perubatan Malaysia adalah yang paling aktif menganjurkan
aktiviti sosial untuk menjayakan program Desa Sihat anjuran persatuan
berkenaan.
Katanya, aktiviti seumpama itu mendapat sambutan
menggalakkan rakyat tempatan kerana ia memberi peluang kepada rakyat
untuk mendapat pemeriksaan kesihatan dan ubat-ubatan selain daripada
membawa anak lelaki mereka untuk berkhatan secara percuma.
"Kita
senang bekerja dengan pelajar Malaysia kerana mereka memahami budaya
rakyat Indonesia, malah budi bahasa mereka yang lemah lembut sering
menjadi tarikan rakyat tempatan untuk menyertai program yang
dianjurkan," katanya.
Sulfiadi berkata, PBSMI berharap dapat
bekerjasama dengan pelajar Malaysia dalam aktiviti berskala besar
termasuk kemungkinan di peringkat nasional satu hari nanti.
Sementara itu, Pengarah Mara Indonesia Zulaina Haslinda Anhar Zubir
berkata program yang ditaja sepenuhnya oleh Mara itu bertujuan untuk
melatih bakal-bakal doktor berkenaan menjalani amali sambil berbakti
kepada penduduk setempat.
"Kita sememangnya mengalakkan pelajar
Malaysia memberi sumbangan bakti kepada penduduk setempat di kawasan
mereka belajar," katanya.
Beliau berkata, menerusi aktiviti
seumpama itu, ia dapat mengeratkan hubungan antara dua negara selain
memberi ruang kepada rakyat tempatan mengenali orang Malaysia secara
peribadi.
Pengerusi jawatankuasa penganjur Jefrizal Mat Zain yang
juga pelajar tahun akhir jurusan perubatan Universitas Hasanuddin
berkata, 30 pelajar perubatan yang terlibat dalam aktiviti itu adalah
antara 500 Malaysia pelajar jurusan perubatan di universiti berkenaan.
"Kita tidak boleh membawa semua mahasiswa kerana jumlah yang terlalu
ramai dan 30 orang yang terpilih ini adalah yang akan menamatkan
pengajian pada Jun dan Ogos ini," katanya. – Bernama, 18 Mei, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.