Followers

Sunday, May 17, 2015

Pandikar Amin Nafi Letak Jawatan Speaker, Kembali Bertugas Isnin


Tan Sri Pandikar Amin Mulia menafikan dakwaan beliau meletak jawatan speaker Dewan Rakyat, dan akan meneruskan tugas seperti biasa apabila Parlimen bersidang semula Isnin ini.

"Adalah dimaklumkan saya tidak ada meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat sepertimana yang disebut mana-mana pihak.

"Saya akan bertugas seperti biasa sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-13 mulai pada 18 Mei hingga 18 Jun 2015," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Penafian Pandikar (gambar) susulan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini beliau sudah meletak jawatan speaker dan tempatnya digantikan timbalannya.

"Speaker sudah berhenti. Dia datang jumpa saya dia kata dia hendak berhenti. Dia tidak mahu dah. Sekarang yang jadi pengerusi dewan, dia punya timbalan," kata Dr Mahathir dalam satu program Bicara Negara yang diadakan di Ipoh, Perak hari ini.

Pandikar dalam kenyataannya berkata beliau juga dijangka menyempurnakan upacara angkat sumpah dua ahli Parlimen baharu yang memenangi pilihan raya kecil Rompin dan Permatang Pauh baru-baru ini.

Di samping itu, beliau juga akan mempengerusikan sesi pembentangan usul Rancangan Malaysia ke-11 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kenyataan Dr Mahathir mengenai Pandikar mengundang penafian daripada pelbagai pihak, termasuk Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim. – The Malaysian Insider/16 Mei, 2015.
 
 
Dunia Cacamarba

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.