KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO 2015 yang diadakan pada hujung tahun bakal menjadi penentu tempoh Datuk Seri Najib Tun Razak kekal menjadi presiden parti sekali gus perdana menteri sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-14 atau sebaliknya.
Veteran UMNO, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, cadangan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tidak menangguhkan pemilihan parti pada 2016 menguatkan hujahnya terhadap tempoh dan penilaian tahap kemampuan Najib mentadbir negara.
"Ini keistimewaan UMNO, presiden parti merupakan perdana menteri. Usul pemilihan parti pada 2016 yang mungkin akan diluluskan pada perhimpunan agung tahun ini akan menjadi medan melihat kekuatan dan sokongan ahli kepada Najib.
"UMNO pasti akan menanggung risiko jika penangguhan dibuat, Najib akan berhadapan pelbagai cabaran terutama daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan memberi pelbagai kenyataan 'panas' jika tiada pemilihan dibuat tahun depan.
"Jika tiada pemilihan, Najib berkemungkinan berhadapan cabaran paling getir dalam parti iaitu memastikan keutuhan UMNO di dalam pentadbiran negara. Jika ada pemilihan, Najib mungkin akan berhadapan cabaran akar umbi yang mahu muka baharu sebagai pemimpin parti sekali gus perdana menteri baharu untuk 'bertarung' atas nama parti pada PRU ke-14," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Muhyiddin pada Perhimpunan Agung UMNO 2014 mencadangkan supaya UMNO tidak menangguhkan pemilihan parti selepas pilihan raya umum seperti yang dilakukan sebelum ini sebaliknya menjalankan pemilihan tersebut mengikut masa yang ditetapkan oleh perlembagaan parti.
Muhyiddin juga mencadangkan Perlembagaan UMNO dipinda pada tahun ini untuk membolehkan barisan pelapis muda memainkan peranan dan memberi khidmat lebih besar kepada parti.
Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan menyindir sinis Najib yang berulang-ulang kali menyebut solidariti dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2014.
Najib sebelum ini memaklumkan jumlah keahlian UMNO terkini ialah 3,472,035 orang dengan jumlah cawangan yang layak bersidang sempena mesyuarat perwakilan UMNO cawangan yang bermula 13 Mac hingga 2 Mei ialah 20,776.
Katanya, bagi pergerakan sayap Wanita yang layak melakukan persidangan ialah 19,871, Pergerakan Pemuda ialah 15,111 sementara bagi Pergerakan Puteri pula ialah 10,048 orang.
Dalam pada itu kata Rahim, ledakan konflik akan berlaku seandainya penangguhan dibuat kerana suara akar umbi kini dilihat mahu sedikit 'anjakan' dibuat pada pimpinan tertinggi parti.
"Jika dilihat 'perang' yang berlaku kini melibatkan pasangan orang nombor satu dan dua negara, sama ada kekal seperti hari ini atau ada muka baharu akan muncul.
"Spekulasi akan tetap berlaku seandainya tiada perubahan dalam usaha melihat kepentingan parti sebagai yang terutama. Ramuannya mudah, luluskan usul pemilihan parti pada 2016 dan krisis parti sekarang akan reda, suara akar umbi yang perlu diberi keutamaan," jelasnya.
Ujarnya, kritikan Dr Mahathir akhir-akhir ini dilihat usaha membetulkan parti dan membawa dimensi baharu kepada kepimpinan negara.
"Dr Mahathir kini dilihat hanya mahu Najib berundur, pada pandangannya jika ia berlaku mungkin UMNO akan selamat dan tidak mendapat pelbagai kecaman seperti sekarang.
"Tetapi dia (Dr Mahathir) bukan bertujuan mahu meletakkan anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai pemimpin tertinggi negara, jangan salah sangka tentang itu, dia hanya mahu orang nombor satu melepaskan jawatannya," katanya.
Dalam pada itu Rahim berkata, sokongan rakyat kepada Najib yang dilihat sedikit 'kendur' kini boleh diperbetulkan dengan beberapa tindakan oleh pemimpin nombor satu negara itu.
"Najib perlu minta maaf dan mengakui kekhilafannya sebelum ini selain betulkan semula keadaan, sokongan rakyat mungkin kembali kepadanya," katanya.
Najib sebelum ini bagaimanapun dilaporkan menyatakan pendiriannya untuk tidak akan sekali-kali menyerahkalah walaupun terus diserang dengan pelbagai kritikan daripada pelbagai pihak.
UMNO mengadakan pemilihan parti pada Oktober 2013 selepas menangguhkannya untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13. Pemilihan itu sepatutnya dilangsungkan pada 2012.
Mandat kepimpinan UMNO sekarang akan berakhir pada 2016. Mandat Parlimen sekarang pula akan berakhir pada 2018.
Sebelum ini, Rahim berkata, krisis Dr Mahathir dan Najib dilihat bibit-bibit awal proses pembersihan UMNOsebelum kelahiran pemimpin baharu yang akan memimpin parti.
Sementara itu, ketika mengulas isu pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh dan Rompin awal Mei depan, Rahim berkata, penambahan atau pengurangan majoriti akan membayangkan sokongan semasa rakyat kepada UMNO.
"Jika majoriti di Rompin menurun, ia tanda sokongan berkurangan, perkara sama juga di Permatang Pauh, prospek untuk menang semakin sukar selepas Pemuda PAS di sana memberi semula sokongan kepada PKR.
"Adakah konflik Najib dan Dr Mahathir akan meledak lagi selepas keputusan PRK di kedua-dua kawasan itu kelak?" soalnya.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata,jentera Barisan Nasional (BN) di PRK Rompin dan Permatang Pauh akan memberi penjelasan sewajar terhadap perkara yang dibangkitkan Dr Mahathir.
Bagaimanapun jelas Muhyiddin, tumpuan utama penjelasan yang akan dibuat oleh jentera BN ialah mengenai isu yang dibangkitkan oleh penduduk di kedua-dua kawasan Parlimen itu.
- awani
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.