Followers

Friday, May 1, 2015

Kejutan Dari Mahathir ??

 
Kejutan Dari Mahathir. Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau tidak akan membantu kempen Barisan Nasional (BN) di Permatang Pauh. "Tidak (pergi). Tak payahlah," katanya.

Beliau juga berkata tidak mengenali calon BN, Suhaimi Sabudin, namun berharap beliau calon yang tepat buat BN.

"Saya tak kenal dia. Saya harap dia orang yang baik," katanya pada satu sidang media selepas program "Cakna Ilmu: Mendepani Pemikiran Tun M" di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang hari ini.

Suhaimi, 43, berdepan saingan sengit menentang calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh yang jatuh pada 7 Mei ini.

Dua lagi calon, Azman Shah Othman daripada Parti Rakyat Malaysia dan calon bebas Salleh Isahak, turut bertanding menjadikan PRK ini satu pertandingan empat penjuru.

Ditanya mengenai pencalonan Dr Wan Azizah yang kembali menawarkan diri menggantikan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Mahathir berkata ia membuktikan kenyataannya sebelum ini yang PKR sebuah parti milik keluarga.
Kejutan Dari Mahathir

"PKR ni, saya dah kata banyak kali, ini parti milik keluarga berkenaan," katanya dipercayai merujuk kepada Anwar dan keluarganya.

PRK Permatang Pauh diadakan selepas penyandang, Anwar, hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen apabila dihukum penjara lima tahun dan permohonan pengampunannya ditolak Lembaga Pengampunan.

Pada 10 Februari lalu, beliau disabitkan bersalah oleh Mahkamah Persekutuan kerana meliwat pembantunya, Saiful Bukhari Azlan pada Jun 2008.

Terdahulu hari ini, Dr Mahathir menulis di blognya mengatakan akan menemui ahli Umno di peringkat akar umbi bagi menerangkan kritikan beliau terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memandangkan beberapa pihak menganggap tindakannya merosakkan parti.

Katanya, untuk membuat keputusan atau menghukum secara bijak dan adil, rakyat perlu dengar kedua-dua belah pihak.

"Saya harap saya diberi peluang berjumpa dengan ahli Umno biasa untuk menerang akan masalah kehilangan berbilion ringgit oleh Najib. Lepas mendengar kedua-dua pihak, adililah terhadap 'serangan' saya," katanya.

Ini memberi gambaran seolah-olah beliau akan menemui ahli Umno dalam masa terdekat semasa tempoh kempen pilihan raya kecil (PRK) yang sedang berlangsung di dua tempat sekarang iaitu kawasan Parlimen Permatang Pauh dan Rompin.

Bagaimanapun, beliau juga tidak akan ke Rompin Sabtu ini, bagi menghadiri satu program yang dinamakan “Sepagi Bersama Negarawan” seperti yang dihebahkan di media sosial.

"Bagi pihak pejabat Dr Mahathir, pihak admin Chedet.cc ingin memaklumkan, maklumat berkenaan acara 'Sepagi Bersama Negarawan' di Bukit Ibam, Rompin pada hari Sabtu, 2 Mei yang sedang diedarkan di media sosial adalah Palsu.

"Tidak ada acara berkaitan yang akan dihadiri Dr Mahathir," menurut satu notis di blog bekas perdana menteri itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.