Followers

Monday, May 18, 2015

Najib tangkis kritikan dalam kiriman blog OLEH SHERIDAN MAHAVERA

  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjawab pelbagai kritikan yang dilemparkan kepadanya, khususnya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjawab pelbagai kritikan yang dilemparkan kepadanya, khususnya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Berdepan pelbagai kritikan dalam mengharungi penggal keduanya sebagai perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi laman blognya hari ini menangkis beberapa dakwaan yang dilemparkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadapnya.

Dalam ruangan Soalan Lazim (FAQ) di blognya www.najibrazak.com, Najib menggariskan 13 isu dan dakwaan yang mencemar beliau dan pentadbirannya, dari kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu sehinggalah pembelian jet kerajaan.

Selain kes Altantuya, penggunaan jet rasmi kerajaan dan dakwaan Barisan Nasional akan kalah dalam pilihan raya umum akan datang yang diterbitkan The Malaysian Insider dalam artikel berbeza, di bawah disertakan 10 keterangan lain yang dibuat Najib dalam blog tersebut.

* Berhubung dakwaan media asing yang melabel Malaysia negara paling rasuah di dunia, Najib berkata laporan itu berdasarkan tinjauan persepsi.

Najib bagaimanapun merujuk Indeks Persepsi Rasuah Transparency International yang meletakkan Malaysia di kedudukan 50 dari 175 negara yang dikaji. Malaysia memperbaiki kedudukan sebanyak tiga anak tangga berbanding tahun lalu.

* Najib juga menolak kritikan Dr Mahathir yang mendakwa Bantuan Bakyat 1Malaysia (BR1M) satu bentuk rasuah mengatakan ia sebahagian subsidi bersasar yang hanya akan memberi faedah kepada keluarga berpendapatan rendah.

Najib berkata BR1M lebih efisyen berbanding subsidi petrol dan gula yang juga memberi manfaat kepada orang kaya. Ia juga diberi tanpa mengira latar belakang politik dan tidak mengira musim pilihan raya.

* Najib juga menjawab tuduhan berhubung firma pelaburan negara yang sarat dibebani hutang, 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dengan merayu pengkritiknya menunggu hasil siasatan Ketua Audit Negara.

Beliau mengulangi yang Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga sedang menyiasat 1MDB dan berjanji mengambil tindakan ke atas sesiapa sahaja yang didapati bersalah kerana penyalahgunaan atau penyelewengan.

* Satu lagi kritikan Dr Mahathir ialah Najib tidak mempunyai keberanian membina jambatan bengkok antara Johor dan Singapura kerana republik itu menolak projek tersebut.

Najib menulis, persetujuan Singapura diperlukan untuk merobohkan tambak bagi membina jambatan kerana paip air di tambak itu milik Singapura.

* Najib juga menafikan tuduhan Dr Mahathir yang prestasi beliau jauh lebih buruk daripada pemimpin sebelumnya Tun Abdullah Ahmad Badawi pada pilihan raya umum ke-13, dengan kehilangan lebih banyak kerusi Parlimen.

Najib berkata, BN mengalahkan PAS untuk mendapatkan kembali kerajaan Kedah dan mengekalkan kuasanya di Perak, yang pada pilihan raya umum ke-12 jatuh ke tangan pembangkang.

* Mengenai dakwaan beliau mengabaikan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan memihak kepada Pemandu, Najib berkata Pemandu ialah badan yang menyelia program transformasi pentadbirannya.

Pemandu berurusan dengan kedua-dua dasar ekonomi dan bukan ekonomi, manakala EPU memberi tumpuan semata-mata pada ekonomi.

"Saya malah melantik salah seorang CEO yang paling berkebolehan di negara ini (Datuk Seri Abdul Wahid Omar ) mengetuai EPU," tulisnya.

* Najib turut menyangkal pandangan yang pentadbiran beliau mengetepikan penjawat awam melalui penggunaan perunding swasta.

"Perkhidmatan awam sentiasa dan selamanya berada di tengah-tengah pentadbiran dan operasi negara. Perkhidmatan awam menguruskan negara secara harian.

"Hanya kerana beberapa individu dan pihak dilantik membantu, tidak bermakna pengalaman mereka tidak lagi diperlukan. Ia satu komen yang tidak adil dan tiada objektif. Membantu, ya; mengambil alih, tidak."

* Najib menafikan dakwaan beliau tidak mempedulikan tindakan afirmatif bagi golongan bumiputera, menekankan yang beliau memperuntukkan bantuan berjumlah RM47.95 bilion bawah Program Pemerkasaan Bumiputera.

Pentadbirannya juga memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi negara supaya semua kaum boleh memperbaiki kedudukan sosial mereka.

* Najib mengecam beberapa pengkritik yang menuduh slogan 1Malaysia beliau sama seperti slogan "Malaysian Malaysia" DAP.

“Tidak seperti slogan DAP, 1Malaysia menerima Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berkaitan kedudukan istimewa orang Melayu dan mempunyai dasar pro-bumiputera seperti Majlis Pemerkasaan Bumiputera.

"Untuk mengatakan 1Malaysia sama dengan Malaysian Malaysia, ia satu perkata yang menyimpang dari realiti, dengan niat semata-mata mengelirukan orang Melayu."

* Satu lagi dakwaan yang menurut Najib tidak benar ialah kadar jenayah meningkat sejak Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan pada 2013.

"Tahun lepas sahaja, polis berjaya mengurangkan kadar jenayah di negara ini sebanyak 12.6%. Jenayah kekerasan juga menurun sebanyak 13.4%.

"Juga satu fakta, 8,868 orang ditahan dan 280 senjata dirampas dalam Ops Cantas Khas yang dilancarkan baru-baru ini.

"Apabila ISA pertama kali diperkenalkan, tujuannya hanya untuk memerangi pemberontakan komunis dan hari ini ia tidak lagi relevan."

Menggantikannya, kata Najib, ialah Akta Pencegahan Keganasan (Pota). Seperti ISA, Pota memperuntukkan penahanan tanpa bicara tetapi Najib berjanji ia tidak akan digunakan bagi tujuan politik. – 17 Mei, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com. -

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.