Followers

Saturday, May 16, 2015

Najib dan Hadi, sama-sama tertekan Razali Awang

zam,hadi,najib
Kepimpinan ulama dalam Pas memerlukan sokongan UMNO untuk memastikan ia terus berkuasa dalam parti itu.
 
PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kini berdepan dengan situasi yang hampir sama.

Ketika Najib cuba mendapatkan sokongan daripada pimpinan dan akar umbi selepas pentadbirannnya dikritik hebat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan para penyokongnya, situasi yang hampir sama turut dirasai Abdul Hadi.

Kedudukan beliau sebagai Presiden Pas yang mewakili kepimpinan ulama, turut berdepan dengan ujian selepas jawatan itu digugat Datuk Ahmad Awang pada Muktamar Pas ke-61, Jun ini.

Kewibawaannya bukan setakat dicabar kumpulan yang dianggap sedarhana dalam parti malah, sekutunya dalam Pakatan Rakyat (PR), khususnya DAP tidak henti-henti memberi ugutan dan kata dua.

Sekiranya pemilihan terus memihak kepada ulama, ia mendesak parti itu keluar sahaja dari pakatan.
Bagaimanapun, jika kumpulan yang dianggap sedarhana dipilih meneraju kepimpinannya pada 4 hingga 6 Jun ini, ia bermakna hayat Pas dalam PR akan lebih panjang.

Sama ada mengancam atau diancam, DAP melihat keputusan Muktamar memberi kesan besar kepada parti itu.

Isu hudud telah menjadi penyelamat kepada kepimpinan ulama Pas dan ia telah berjaya membina semula keyakinan pengikut tegarnya bahawa kumpulan berkenaan sama sekali tidak akan bertolak ansur.

Sokongan terhadap pelaksanaan undang-undang Islam itu turut datang dari luar termasuk termasuk di kalangan ahli dan pemimpin UMNO sendiri.

Memetik tulisan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin di laman blognya, zamkata.blogspot.com, Pas yang telah mengorbankan konsep Negara Islam yang menjadi idea perjuangannya selama ini dan menggantikan dengan konsep Negara Kebajikan selepas menyertai PR, terpaksa kembali kepada isu hudud.

“Mereka berundur ke belakang dan menemui kembali hudud yang dilihat sebagai penawar paling mujarab untuk memulihkan semangat penyokong-penyokongnya dan memperbaiki semula pandangan umat Islam terhadapnya.

“ UMNO yang berada dalam keadaan lemah merasa perlu untuk memberikan sokongan kepada pemulihan imej Pas ini walaupun menentang hudud Pas di bawah pimpinan Perdana Menteri Dr.Mahathir”, komennya di blog berkenaan.

Selepas sebahagian anggotanya dikatakan terpengaruh dengan idealogi kumpulan sedarhana, hudud dilihat berjaya membina semula keyakinan kumpulan ulama bahawa mereka masih mendapat sokongan dan ketegasan untuk melaksanakannya telah menaikkan semula nama Abdul Hadi dan sekutunya.

Sebagai orang lama, Ahli Parlimen Marang itu juga dilihat bijak bermain politik.
Ketika mana pemimpin PR yang lain mendesak Najib berundur, Abdul Hadi mengambil pendekatan berbeza dengan meminta beliau untuk meneruskan tugasnya sebagai Perdana Menteri.

Mungkinkah gambar yang terpampang dengan tajuk utama sokongan beliau yang disiarkan akhbar arus perdana mempunyai maksud tersirat atau isyarat bahawa dalam keadaan sekarang mereka memerlukan satu sama lain untuk terus berkuasa?

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.