Bahang 'perang' menjelang muktamar PAS bulan depan semakin panas apabila
senarai rasmi diumumkan Ketua Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi
hari ini.
Tanpa
pengumuman rasmi dibuat mengenai pertembungan kumpulan proulama dan
bukan ulama, pola pencalonan yang dibuat seluruh PAS kawasan setakat ini
menunjukkan ia semakin tidak terkawal.
Untuk Pemuda PAS misalnya, ketuanya Suhaizan Kaiat turut dicalonkan
sebagai pemeriksa kira-kira - suatu langkah yang sebenarnya boleh
dianggap menghina atau sekurang-kurangnya tidak serius.
Turut dicalonkan untuk jawatan itu ialah menantu Datuk Seri Abdul Hadi
Awang, Zaharuddin Mohamad yang lantang dalam gerakan 'mempertahankan'
kumpulan ulama, serta 'sekutunya' yang juga Ketua Pemuda PAS Pulau
Pinang, Mohd Yusni Mat Piah.
Mohd Yusni (gambar) baru-baru ini menjadi perhatian kerana
berkeras enggan menggerakkan anggotanya membantu PKR dalam pilihan raya
kecil Permatang Pauh.
Nama Suhaizan turut dicalonkan sebagai timbalan pengerusi tetap bersama bekas Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan.
Dalam perkembangan sama, perwakilan di peringkat kawasan juga
menunjukkan kecenderungan membawa semula Nik Abduh Nik Abdul Aziz ke
dalam Pemuda PAS.
Nik Abduh pun ada
Berdasarkan senarai yang diedarkan hari ini, nama Nik Abduh dicalonkan
untuk bertanding bagi jawatan ketua pemuda bersama anak Abdul Hadi,
Muhammad Khalil (kini naib ketua kepada Suhaizan).
Nik Abduh - yang memenangi kerusi parlimen Pasir Mas dalam pilihan raya
umum ke-13 lalu - adalah naib ketua Pemuda PAS ketika sayap itu diketuai
Nasrudin bagi sesi 2011 - 2013.
Sementara itu ketika dihubungi Malaysiakini, Suhaizan berkata, dia tidak berasa apa-apa dengan pencalonan namanya sebagai pemeriksa kira-kira.
"Sebelum ini pun ada juga ulama atau pemimpin atasan yang dicalonkan untuk jawatan seperti itu," katanya.
Suhaizan berkata, antara tokoh utama PAS yang dicalonkan sebagai
pemeriksa kira-kira ialah Datuk Husam Musa, Ahmad Awang dan Ketua Dewan
Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik.
Mengenai percaturannya dalam pemilihan bulan depan, Suhaizan masih
enggan mendedahkan sebarang keputusan, kecuali mengesahkan hanya akan
bertanding untuk satu jawatan saja.
"Tunggulah, nanti saya akan umumkan," katanya.
Bagi Dewan Muslimat PAS pula, bekas ketua sebelum ini, Nuridah Salleh
cuba dibawa masuk untuk mencabar penyandang Siti Zailah Mohd Yusoff.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.