Beliau mengakui keterbukaan Datuk Seri Najib Razak dalam memberi kebebasan kepada media berbanding zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.
Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian Datuk Abdul Jalil Ali bercakap pada forum ‘Kebebasan Media’ pada program Journalism Now di Kuala Lumpur, hari ini. Beliau mengakui keterbukaan Datuk Seri Najib Razak dalam memberi kebebasan kepada media berbanding zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempamerkan sikap yang lebih adil dan terbuka dalam hal kebebasan akhbar berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian Datuk Abdul Jalil Ali.
Menurut Jalil, Putrajaya pernah bertindak menutup akhbar Eksklusif yang diterajuinya sewaktu Dr Mahathir menjadi perdana menteri selepas pilihan raya umum 1999.
"Najib agak terbuka dan adil dalam hal kebebasan media.
"Malah, sewaktu zaman Tun Mahathir, beliau lebih tegas. Malah, satu akhbar saya yang dikenali sebagai Eksklusif diharamkan kerajaan – mereka tidaklah mengharamkannya – mereka kata permitnya tak diperbaharui.
"Kami terpaksa tutup kedai dan lebih 50 orang hilang pekerjaan," kata Jalil pada forum “Kebebasan Media” pada program Journalism Now di Kuala Lumpur, pagi ini.
Semalam menulis di blog popularnya www.chedet.cc, Dr Mahathir mengkritik tindakan Putrajaya menahan wartawan yang melaporkan tentang Majlis Raja-Raja menolak pindaan hudud dicadangkan PAS.
Dr Mahathir berkata, tindakan kerajaan itu adalah percubaan untuk menakut-nakutkan rakyat agar tidak mengkritik mereka.
Bercakap lanjut, Jalil berkata di bawah pentadbiran Najib beliau hanya pernah dipanggil bertemu Najib dan menteri dalam negeri pada masa itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Menurut Jalil, beliau dimarahi kerana menyiarkan “Surat dari penjara” yang ditulis Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam akhbar Sinar Harian.
"Mentaliti sesetengah menteri ini mereka fikir akhbar ini seperti akhbar yang dimiliki parti mereka," katanya.
Menurutnya, beliau digesa agar meletak jawatan dalam Sinar Harian atau “dipecat” – satu perkara yang tidak berlaku kerana Sinar Harian bukan dimiliki Umno.
"Sesetengah menteri ini tidak faham kedudukan kita dalam akhbar tersebut," katanya tanpa memperincikan siapa yang menggesa beliau untuk berbuat demikian.
"Walaupun kerajaan dilihat seperti menekan media tempatan, dalam kes saya ia masih OK.
"Orang kata di negara ini tiada kebebasan media sepanjang pengalaman Sinar Harian, saya gembira dengan situasi sekarang," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini Steven Gan berkata kerajaan meneladani Singapura apabila bertindak menggunakan saluran undang-undang untuk menekan media.
"Tindakan undang-undang (lawsuit) digunakan sebagai satu lagi lapisan untuk menekan media," katanya.
Malaysiakini sekarang berhadapan satu saman daripada Najib di atas kapasiti peribadinya berhubung penyiaran kompilasi komen pelanggan berita Malaysiakini.
Najib menamakan penerbit Malaysiakini, Mkini Dotcom Sdn Bhd; Ketua Pengarang Kumpulan, Gan dan bekas Ketua Pengarang, Fathi Aris Omar.
Penyaman bersama adalah Setiausaha Kerja Umno Datuk Abdul Rauf Yusoh.
Mereka mendakwa kompilasi komen pembaca dalam “Yoursay” yang disiarkan pada 14 Mei, iaitu “A case of the PM reaping what he sows” dan “How much will Najib spend to keep Terengganu?”, berunsur fitnah.
Kes tersebut akan didengar pada 26 Jun depan. – 12 Mei, 2015
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.