Followers
Wednesday, May 6, 2015
Kuasa ketiga masih sujud ideologi Anwarisme
Politik kiri walaupun pada nama dan konsep perjuangannya nampak gah namun mereka terikat dan tunduk kepada parti-parti politik Pakatan Rakyat (PR) seperti PKR dan DAP.
SPR-Permatang-Pauh
Oleh Edwin Michael
Tinggal beberapa jam sahaja untuk kempen parti politik di pilihanraya kecil (PRK) Permatang Pauh berakhir, timbul satu persoalan yang wajar dianalisis dengan cermat mengenai calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang juga dilabelkan sebagai calon kuasa ketiga dalam PRK ini.
Sehingga kesaat ini tidak kedengaran akan momentum kempen calon kuasa ketiga ini dan paling menimbulkan persoalan adalah mengapa Gabungan Kiri dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) semacam mengambil sikap berdiam diri dan apakah wujud elemen memboikot calon sosialis ini?
Apabila seorang calon politik kiri diturunkan bertanding melawan calon-calon politik kanan, adalah lumrah aktivis-aktivis kiri mengerakkan jentera pilihanraya dan berkempen dalam usaha mendukung ideologi ‘berjuang bersama rakyat’ yang dicanangkan dalam setiap demonstrasi di negara ini.
Anehnya, dalam PRK Permatang Pauh ini kesemua aktivis kiri memilih berdiam diri malah tidak kedengaranpun mana-mana politikus kiri turun berkempen untuk calon PRM ini.
Pengaruh Anwarisme
Maka adalah tidak keterlaluan untuk mengandaikan bahawa politik kiri di negara ini masih sujud kepada ideologi Anwarisme dan bukannya idelogi kiri yang tulen. Politik kiri di negara ini walaupun pada nama dan konsep perjuangannya nampak gah namun harus diakui bahawa mereka terikat dan tunduk kepada parti-parti politik Pakatan Rakyat (PR) seperti PKR dan DAP.
Kedua-dua parti ini harus dijaga dalam usaha untuk memastikan agihan kerusi dalam pilihanraya yang akan datang nanti tidak terganggu seperti mana yang berlaku dalam PRU 13 apabila wujud pertembungan antara Barisan Nasional (BN), PR dan parti politik kiri seperti di DUN Jelapang dan Semenyih misalnya.
Ini juga mengesahkan secara jelas bahawa politik kiri di negara ini tidak lebih daripada satu retorik khayalan yang tidak mungkin akan dapat direalisasikan kerana nyata bahawa untuk setiap peranan politik kiri perlu mendapatkan restu daripada PKR dan DAP terlebih dahulu.
Adalah malang sekali apabila pentas politik kiri yang berideologikan sosialisme dan kesamarataan ini dalam diam tunduk kepada parti-parti politik yang mengutamakan kapitalis.
Arah tuju sosialis?
Ruang politik di Permatang Pauh memberikan kesimpulan yang tuntas bahawa politik kiri termasuk Gabungan Kiri di negara ini tidak ada arah tuju yang jelas dan pendirian yang berani dalam membawakan masa depan yang baharu buat Malaysia.
Berpolitik di bawah telunjuk PR dan kemudiannya mengetepikan kawannya sendiri semata-mata untuk menjaga hati PR ini adalah bukti jelas bahawa berbicara sehebat manapun tentang ideologi kiri di negara ini, hakikatnya masih dilingkupi dengan ideologi PKR dan DAP.
Selagi keadaan ini wujud, parti politik kiri hanya akan digunakan sebagai patung untuk mencapai survival politik PR.
Edwin Michael merupakan pensyarah Kewartawanan di Universiti Tunku Abdul Rahman.
With a firm belief in freedom of expression and without prejudice, FMT tries its best to share reliable content from third parties. Such articles are strictly the writer’s personal opinion. FMT does not necessarily endorse the views or opinions given by any third party content provider.
- See more at: http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2015/05/06/kuasa-ketiga-masih-sujud-ideologi-anwarisme/#sthash.ecMrZjtr.dpuf
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.