Followers

Sunday, May 10, 2015

Konflik kepentingan Tabung Haji-1MDB bukan setakat korporat, tetapi juga politik, kata NGO OLEH MOHD FARHAN DARWIS

Pengasas bersama Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel berkata, budaya percanggahan kepentingan wujud dalam Lembaga Tabung Haji kerana pemimpin Umno turut dilantik sebagai ahli lembaga pengarah syarikatnya.

Pengasas bersama Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel berkata, budaya percanggahan kepentingan wujud dalam Lembaga Tabung Haji kerana pemimpin Umno turut dilantik sebagai ahli lembaga pengarah syarikatnya.

Percanggahan kepentingan sudah pasti wujud dalam isu membabitkan pembelian tanah Tun Razak Exchange (TRX) oleh Tabung Haji daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4).

Pengasas bersama C4, Cynthia Gabriel berkata, budaya percanggahan kepentingan juga wujud dalam Tabung Haji, apabila pemimpin Umno turut dilantik sebagai ahli lembaga pengarah syarikat pengendali ibadah haji negara itu.

"Sudah tentu berlaku percanggahan kepentingan. Juga wujud kepentingan bermotifkan politik," katanya kepada The Malaysian Insider.

"Satu isu lagi ialah bagaimana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) digunakan bagi mendapatkan dana untuk 1MDB," katanya.

Beliau berkata, percanggahan konflik itu turut berlaku apabila pemimpin dan ahli Umno turut mengambil bahagian dalam urusan pentadbiran syarikat berkenaan.

"Percanggahan konflik bukan setakat berlaku antara dua syarikat, tetapi lebih rumit apabila melibatkan kepentingan politik kerana mereka juga pemimpin Umno," katanya.

Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim ialah ahli Parlimen Baling dan ahli Majlis Tertinggi Umno, manakala Pengerusi Tetap Umno Tan Sri Badruddin Amiruddin, Timbalan Pengerusi Tetap Umno Tan Sri Mohamad Aziz dan ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Rosni Sohar semuanya ahli lembaga Tabung Haji .

Tabung Haji hangat dikritik berhubung laporan yang ia membeli sebidang tanah daripada 1MDB yang dibebani hutang pada harga RM188.5 juta bulan lepas.

Pengkritik mempersoalkan sama ada perjanjian itu satu usaha menyelamatkan syarikat pelaburan milik negara yang bermasalah itu, dan menyatakan bagaimana beberapa eksekutif dan ahli lembaga Tabung Haji juga memegang jawatan dalam 1MDB.

Azeez bagaimanapun dilaporkan berkata oleh Sinar Harian hari ini, beliau tidak akan tunduk kepada desakan agar meletakkan jawatan.

Akhbar itu memetik beliau berkata isu tersebut hanya dipolitikkan sesetengah pihak.

"Selama dua hari ini saya diam daripada memberikan sebarang maklum balas. Saya tunggu sebab saya nak tahu apa yang akan dimainkan. Rupa-rupanya isu politik.

"Dan mereka mahu kaitkan saya sebagai pengerusi TH. Apa kena mengena? Kalau saya rugikan duit TH, bolehlah desak saya letak jawatan," beliau dipetik berkata sambil menambah yang kredibiliti beliau terbukti berjaya menambah jumlah dividen yang diterima pendeposit di TH.

Bagaimanapun, Tabung Haji semalam menafikan sebarang konflik kepentingan mengatakan, Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Tan Sri Ismee Ismail yang juga merupakan ahli lembaga 1MDB, berkecuali daripada terlibat dalam semua rundingan Tabung Haji-1MDB.

Seorang lagi eksekutif kanan Tabung Haji dan dua orang ahli lembaga, yang semuanya juga memegang jawatan berkaitan di 1MDB bagaimanapun, tidak mengecualikan diri kerana mereka tidak memegang jawatan membuat keputusan dalam 1MDB, kata Azeez.

Timbalan CEO Tabung Haji Datuk Johan Abdullah, yang juga pengerusi anak syarikat 1MDB, Edra Global, merupakan peneraju utama dalam semua rundingan yang membawa kepada pembelian tanah itu.

Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah ialah ahli lembaga pengarah Tabung Haji dan juga ahli lembaga penasihat 1MDB, manakala Tan Sri Abdul Samad Alias yang duduk di panel pelaburan Tabung Haji juga ialah ahli lembaga penasihat 1MDB .

Semalam Azeez berkata, Tabung Haji mengambil keputusan menjual tanah yang dibeli daripada 1MDB itu, selepas dinasihatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya berbuat demikian susulan tindak balas rakyat.

Azeez berkata, Najib menasihatkan beliau melupuskan tanah itu supaya reputasi Tabung Haji tidak "tercemar" kerana terlibat dalam transaksi perniagaan dengan 1MDB .

Najib ialah juga presiden Umno, menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB. – 10 Mei, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.