Followers

Wednesday, May 6, 2015

“Kebenaran jangkaan Tun M makin terserlah” - FMT Reporters

 
najib_mahathir_600_1

Jangkaan Tun Mahathir bahawa BN akan kalah dalam pilihan raya akan datang dan Najib perlu disingkirkan untuk menyelamatkannya semakin menunjukkan tanda-tanda kebenaran.

PETALING JAYA : Kemerosotan undi majoriti dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin merupakan satu petanda penolakan rakyat terhadap Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri.
Bekas Ketua Bahagian UMNO Setiawangsa, Shahbudin Husin berkata, rakyat menolak Najib kerana melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Katanya, Najib juga bertanggungjawab terhadap FELDA apabila harga sahamnya yang telah hilang lebih separuh daripada harga asal ketika disenaraikan di pasaran saham.

“Semuanya beban yang terangkum di bahu Najib selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Ini kerana GST dilaksanakan oleh Najib dan FELDA pula terletak di bawah jagaannya.

“Isu GST dan FELDA yang ditambah dengan beban lain yang membelit Perdana Menteri seperti 1MDB, Sirul (Azhar Umar), (Datin Seri) Rosmah (Mansor) serta kehilangan sokongan Tun (Dr) Mahathir (Mohamad), telah menjadikan Najib semakin tidak diyakini lagi untuk terus memimpin negara ini,” tulisnya menerusi laman blognya shahbudindotcom.blogspot.com

Shahbudin berkata, keputusan yang diperoleh di Rompin juga memperlihatkan penyokong kuat UMNO iaitu pengundi luar bandar dan peneroka FELDA telah mula membuka mata terhadap apa yang berlaku dalam negara.

Beliau menambah, tidak mustahil keputusan di Permatang Pauh esok akan merangsang arus yang lebih hebat, berdasarkan penolakan ketara di PRK Rompin yang merupakan kubu kuat BN.

“Jangkaan Tun Mahathir bahawa BN akan kalah dalam pilihan raya akan datang dan Najib perlu disingkirkan untuk menyelamatkannya semakin menunjukkan tanda-tanda kebenarannya.

“Bekas Perdana Menteri itu pasti akan meneruskan serangan pada tahap yang lebih serius lagi selepas ini untuk memaksa Najib berundur demi menyelamatkan UMNO dan BN. Rakyat pula sudah mula menunjukkan kecenderungan untuk bersama-sama Tun Mahathir,” katanya.


FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.