Followers

Saturday, May 2, 2015

Himpunan anti-GST tidak mengubah, tapi beri kesan ketara, kata penganalisis - OLEH SHERIDAN MAHAVERA


Penganalisis berpendapat perhimpunan bantah GST semalam membuktikan kesedaran politik masih wujud di kalangan rakyat Malaysia. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 2 Mei, 2015.Suhaimi Ibrahim, dari Sungai Petani, Kedah, turut hadir di Kuala Lumpur semalam membantah pelaksanaan GST.

Suhaimi Ibrahim, dari Sungai Petani, Kedah, turut hadir di Kuala Lumpur semalam membantah pelaksanaan GST.

Suami Zaiton Anuar terlantar sakit di rumah dan perlu penjagaannya, tetapi ibu kepada lima orang anak itu nekad datang ke Kuala Lumpur menyertai himpunan membantah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) semalam.

Wanita berumur 52 tahun itu merupakan antara ribuan peserta lain pada perhimpunan semalam, yang dikatakan mencapai matlamatnya walaupun tidak melepasi sasaran mengumpulkan sejuta peserta.

Walaupun perhimpunan semalam tidak mungkin mengubah keputusan Putrajaya mengenai pelaksanan cukai berkenaan, kemarahan rakyat terhadap peningkatan kadar inflasi sedikit sebanyak mampu mengancam kedudukan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Bagi Zaiton, terdapat perbezaan agak ketara di antara maklumat disampaikan Putrajaya mengenai GST dan bagaimana cukai itu memberi kesan kepada rakyat.

"Setiap kali saya menonton TV, kerajaan sering mengatakan bahawa kos perubatan di hospital kerajaan tidak akan dikenakan GST. Tetapi apabila saya membawa suami ke HUKM (Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia), saya perlu membayar GST untuk semua kos rawatannya."

Beliau kecewa apabila dikenakan cukai 6% ke atas semua kos perubatan bagi merawat penyakit kanser suaminya, yang boleh mencecah setinggi RM2,000 setiap kali rawatan.

GST yang dikenakan adalah sebanyak RM60 dan ia jumlah yang membebankan buat Zaiton, yang tinggal di rumah pangsa di Pantai Dalam.

Pada 22 April, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam dilaporkan berkata, ubat-ubatan penyakit kronik seperti kanser akan dikenakan GST.

Satu lagi keluhan yang diluahkan adalah bagaimana kerajaan boleh membuat andaian harga barang akan turun selepas pelaksanaan GST bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang berkadar 10%.

Kakak Zaiton, Misnah, 54, mendakwa andaian yang dibuat kerajaan itu meleset sama sekali kerana beliau sendiri mendapati harga barangan meningkat dalam beberapa minggu lalu.

"Saya pergi ke pasar raya besar baru-baru ini dan mendapati harga bagi 3 kilogram pencuci pakaian yang selalu dibeli naik daripada RM17 kepada RM24."

Tinjauan The Malaysian Insider di kedua-dua pasar raya besar pada 9 April lalu mendapati, sekurang-kurangnya lima daripada 10 barangan dijual lebih mahal berbanding panduan harga yang dikeluarkan kerajaan sebelum pelaksanaan GST.

Sementara itu, sebuah pasar raya didapati menjual lapan jenis barangan dengan harga lebih tinggi daripada yang ditetapkan buku panduan terbitan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Seorang lagi suri rumah, Josephine Anthony, 37, mendakwa keluarganya kini terpaksa menambah jumlah perbelanjaan rumah sebanyak RM30 untuk setiap 300 barangan dibeli di pasar raya.

"Jika dulu saya boleh beli semua barangan yang kami perlukan pada harga RM100, kini walaupun jumlah barangan yang dibeli adalah sama namun harganya lebih RM150," kata pekerja kilang berasal dari Alor Gajah, Melaka itu, yang hadir bersama suaminya semalam menyertai protes anti-GST.

Penganalisis politik, Dr Wong Chin Huat berkata, ketidakpuasan di kalangan rakyat terhadap cukai itu dapat dirasai dan sebab itu ia mampu menghimpunkan di antara 30,000 hingga 40,000 peserta di Dataran Merdeka semalam.

"Ini adalah satu isu besar yang sedang melanda seluruh rakyat," kata Wong, zamalah Institut Pulau Pinang, yang turut menyertai himpunan terbabit.

Kemarahan masih belum membuahkan hasil

Biarpun kemarahan yang ditunjukkan orang ramai semakin membuak terhadap GST, namun penganalisis politik Ibrahim Suffian mengandaikan desakan itu mungkin hanya memberi impak lebih besar sekiranya pemimpin Pakatan Rakyat (PR) bersatu membantah cukai itu.

"Walaupun dengan ramai pengguna sosial media membantahnya, anda masih perlu mempunyai seorang pemimpin yang dapat menjadi ikon kepada rakyat," kata Ibrahim yang turut menyertai perhimpunan pada Hari Pekerja itu.

Ibrahim mendapati perhimpunan semalam tidak menyaksikan penglibatan besar PR, dan penganjur pula menggesa supaya ahli politik supaya tidak memberi ucapan.

"Pilihan raya umum masih lama lagi dan ini memberi gambaran bahawa walaupun anda mengajak orang ramai untuk berhimpun, anda tidak boleh berbuat apa-apa terhadap cukai itu. Ia menyebabkan peserta berasa cepat bosan"

Wujud ketidakpastian sama ada bantahan akan diterjemahkan dalam bentuk undi, kata seorang peserta himpunan Suhaimi Ibrahim yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.

"Orang kampung benar-benar terbeban cukai ini kerana ia memberi kesan kepada mereka dan mereka tidak mempunyai pendapatn besar," kata Suhaimi, 44, yang datang ke ibu negara bersama kawannya.

Penganalisis berpendapat perhimpunan bantah GST semalam membuktikan kesedaran politik masih wujud di kalangan rakyat Malaysia. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 2 Mei, 2015.Penganalisis berpendapat perhimpunan bantah GST semalam membuktikan kesedaran politik masih wujud di kalangan rakyat Malaysia. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 2 Mei, 2015."Tetapi kita tidak pasti lagi sama ada ia akan mempengaruhi mereka melalui jumlah undi nanti kerana apabila mendapat sagu hati, mereka cenderung untuk melupakan kemarahan itu."

Wong, bagaimanapun, masih positif mengenai kesan terhadap himpunan yang dilakukan semalam.

"Ada dua kumpulan manusia. Satu kumpulan adalah mereka yang datang untuk menyatakan pendirian mereka mengenai sesuatu perkara manakala satu kumpulan lagi datang untuk menyatakan pendirian mengenai sesuatu perkara dan mengharapkan tindakan mereka memberikan kesan. Kumpulan kedua adalah lebih besar berbanding kumpulan pertama."

Perbandingan serupa berlaku pada perhimpunan Bersih 2.0 (2011) dan Bersih 3.0 (2012).

Perhimpunan ketiga mempunyai jumlah tiga kali ganda lebih besar berbanding perhimpunan kedua kerana mereka percaya hasilnya akan mewujudkan satu gelombang perubahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ketika Bersih 3.0, kepimpinan PR bersatu dan semua datang beramai-ramai menyuarakan kemarahan.

Buat masa ini, kesan perhimpunan Hari Pekerja semalam masih belum dapat dipastikan mampu mengubah keadaan, kata Wong.

"Tetapi sekurang-kurangnya masih ramai rakyat yang hadir untuk menyatakan pendirian mereka mengenai prinsip dan mereka menunjukkan bahawa mereka boleh menyusun diri mereka sendiri walaupun PR berada dalam keadaan berpecah-belah."

Bagi Ibrahim, perhimpunan itu membuktikan kesedaran politik masih wujud di kalangan rakyat Malaysia.

Malah, faktor GST dan peningkatan kadar inflasi akan lebih dirasai pada pilihan raya umum akan datang.

Polis mula menangkap penunjuk perasaan selepas perhimpunan itu menggunakan alasan berlakunya vandalisme dan provokasi.

Setakat lewat malam tadi, hampir 50 orang, termasuk peguam terkemuka dan bekas presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan, ditahan kerana menyertai perhimpunan tersebut.

Turut diminta menyerah diri kepada polis ialah Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke, ahli sekrteriat #KitaLawan Fariz Musa, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan dan sekretariat Bersih 2.0, Mandeep Singh. – 2 Mei, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.