Followers

Tuesday, May 12, 2015

Henti guna jet peribadi selepas rakyat dikenakan GST, kata Gerakan


Tindakan menghentikan penggunaan jet peribadi milik kerajaan yang menelan kos tinggi perlu dilakukan jika mahu menyeru rakyat berjimat cermat ketika berbelanja.

Tindakan menghentikan penggunaan jet peribadi milik kerajaan yang menelan kos tinggi perlu dilakukan jika mahu menyeru rakyat berjimat cermat ketika berbelanja.

Putrajaya digesa memotong kos perbelanjaan pentadbiran termasuk menghentikan penggunaan jet peribadi selepas seluruh rakyat Malaysia "dipaksa" membayar cukai  barangan dan perkhidmatan (GST), kata Tan Keng Liang.

Ketua Pemuda Gerakan itu berkata, jet peribadi itu tidak memberi manfaat dan Putrajaya perlu melakukan tindakan sama jika mahu menyeru rakyat berjimat cermat ketika berbelanja.

"Penggunaan jet itu sememangnya memakan kos yang tinggi.

"Malah jika dihapuskan ia mungkin memberi keuntungan kepada kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perhimpunan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pagi ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak‎ berkata, Putrajaya akan mengambil tindakan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga dan tidak telus mengenakan GST.

Najib turut memberi jaminan keuntungan ‎GST akan dimanfaatkan untuk rakyat dan negara, satu langkah yang dilihat untuk mengurangkan kritikan terhadap tindakan Putrajaya memperkenalkan GST.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menggesa Putrajaya untuk membatalkan GST kerana ramai di antara pegawai tinggi kerajaan masih belum faham bagaimana untuk melaksanakannya.

Tan berkata, jika Najib gagal menunjukkan kerajaan turut sama berkongsi beban dengan rakyat, segala usaha yang diambil kerajaan akan ditolak walaupun ia demi kepentingan rakyat dan negara.

Katanya, rakyat akan menerima keputusan tidak popular yang dibuat kerajaan itu jika Putrajaya menunjukkan komitmen berkongsi beban dengan rakyat.

"Tidak dinafikan GST dilaksanakan lebih 160 negara seluruh dunia.

"Namun sentimen sekarang ialah, rakyat masih belum nampak sebarang manfaat yang diterima mereka selepas pelaksanaan GST," katanya.

Di Putrajaya hari ini, Najib yang juga menteri kewangan berkata, apabila hasil pendapatan bertambah, kerajaan akan menerangkan kepada rakyat secara telus kerana rakyat hendak tahu penggunaan pendapatan negara itu.

"Nanti saya akan bentangkan kepada rakyat, duit tambahan ini, kita akan menggunakan untuk kebaikan rakyat dan negara. Ini saya hendak memberi jaminan, itulah sebenarnya hasrat kerajaan.

"Apabila keadaan kita lebih kukuh, pasaran yakin kepada ekonomi negara kita, kita ada punca tambahan, kita boleh mara ke hadapan," katanya.

Katanya, kerajaan menambah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tahun ini bagi mengurangkan kos harga barang naik serta mengurangkan kadar cukai perseorangan.

"Untuk kita lakukan semua ini, kita perlu ada punca kewangan yang boleh mengukuhkan lagi pendapatan negara," katanya sambil menambah beliau akan membentangkan Rancangan Malaysia ke-11 pada 21 Mei ini, menggariskan perancangan kerajaan untuk 5 tahun akan datang. – 11 Mei, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.