Followers

Monday, May 18, 2015

Ahli Parlimen gagal utamakan kepentingan negara dan rakyat, kata peguam OLEH V ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA



Peguam-peguam mengatakan sekiranya ahli Parlimen tidak memahami tanggungjawab mereka terhadap rakyat dan gagal melaksanakannya, mereka perlu diganti kerana menjadi liabiliti kepada rakyat

Peguam-peguam mengatakan sekiranya ahli Parlimen tidak memahami tanggungjawab mereka terhadap rakyat dan gagal melaksanakannya, mereka perlu diganti kerana menjadi liabiliti kepada rakyat.

Di sebalik sumpah mereka untuk berkhidmat buat pengundi, ahli Parlimen dilihat lebih mengutamakan ketua dan pemimpin politik mereka berbanding perkhidmatan kepada rakyat, kata peguam, dan memberi amaran rakyat dan negara akan menerima kesannya sekiranya pemimpin gagal melaksanakan tanggungjawab mereka.

Mereka berkata anggota Dewan Rakyat, terutamanya daripada parti Barisan Nasional (BN) tidak melaksanakan sumpah mereka dalam melaksanakan tugasan, termasuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Peguam kanan Datuk Dominic Puthucheary berkata, Dewan Rakyat gagal memainkan tugasnya kerana parti politik menguasai Dewan dan menukarnya kepada "Dewan Parti".

"Wakil rakyat di Dewan Rakyat dipilih pengundi, tetapi mereka memberikan kesetiaan kepada pemimpin politik dan menjadi Dewan Parti," katanya yang kini berusia 82 tahun, dan pernah dipilih sebagai ahli Parlimen Nibong Tebal selama sepenggal pada 1995.

Beliau berkata, mereka yang dipilih tidak memahami tugas sebenar atau ambil kisah untuk mengetahui apa yang seharusnya mereka lakukan berlandaskan Perlembagaan.

"Bagi kebanyakan mereka, ia adalah karier dan bukannya melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat," katanya, sebagai respon terhadap ucapan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah supaya mengutamakan negara dan rakyat berbanding pihak lain.

Kesemua 222 ahli Parlimen akan bersidang hari ini selama sebulan bagi membincangkan hal ehwal negara.

Ketika persidangan pada Mac, sewaktu membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Tengku Razaleigh, atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li berkata, Malaysia kini dibelenggu dengan kebuntuan politik dan ekonomi, dan hanya anggota Dewan Rakyat yang mampu meleraikannya.

Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini dibebani hutang dan pelaksanaan sistem percukaian cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Kita kini berhadapan cabaran yang tidak dijangka bagi memenuhi ikrar berkhidmat untuk rakyat dan negara.

"Ini kerana, kuasa Dewan Rakyat dipindahkan kepada kepimpinan parti politik," katanya, yang menjadi ahli Parlimen sejak 1974.

"Pemusatan kuasa terhadap mana-mana individu adalah bertentangan Perlembagaan. Itu bukan apa yang sepatutnya mengenai demokrasi.

"Oleh itu, anggota Dewan Rakyat perlu memutuskan sama ada mahu memenuhi ikrar mereka atau tanggungjawab kepada kuasa di luar Dewan Rakyat," katanya.

Dominic berkata, tidak diragukan Razaleigh bercakap mengenai apa yang difikirkannya namun mengakui terdapat keperluan bagi merombak keseluruhan sistem kerajaan.

Beliau juga menjelaskan sikap wakil rakyat Sabah dan Sarawak yang lebih mementingkan isu di kawasan mereka berbanding isu nasional.

"Mereka tidak melihat kepentingan mempunyai perdana menteri yang kompeten untuk negara," katanya.

Peguam, R. Kenghadharan berkata, mana-mana anggota Parlimen yang gagal melaksanakan tugas mereka perlu mengosongkan pejabatnya kerana mereka menjadi liabiliti kepada proses demokrasi.

"Anggota Parlimen yang tidak kompeten akan memberikan kemusnahan serius kepada proses demokrasi dan tadbir urus kerajaan, kita memiliki ramai dalam kalangan mereka," katanya.

Dewan Rakyat katanya mewakili suara rakyat, namun malangnya, terdapat usaha mencalarkan imej mereka dengan kepimpinan yang lemah dan menyalahgunakan kelemahan demokrasi.

"Kecuali rakyat bangkit untuk menyelamatkan institusi ini, kita merisikokan sistem sekarang dan Malaysia menjadi negara yang gagal," katanya.

Peguam, Edmund Bon berkata, anggota Parlimen yang baik seharusnya mengundi berdasarkan niat hati mereka dan tahap intelektual masing-masing untuk menjadi bertanggungjawab terhadap rakyat.

"Realitinya, bagaimanapun, mereka memenangi pilihan raya disebabkan sokongan parti," katanya, dan menambah, itulah punca sebenar calon bebas gagal dalam pilihan raya.

Bon berkata, ahli Parlimen tidak berupaya bergerak secara bebas seperti mengusulkan undi tidak percaya terhadap ketua Dewan kerana ketua whip parti dilantik untuk mengekalkan disiplin.

Beliau berkata, apa yang dimaksudkan Razaleigh dituntut oleh masyarakat sivil yang mahukan penyingkiran pemusatan kuasa antara individu atau beberapa pihak.

Bon berkata, sistem wakil rakyat berdasarkan undi popular perlu dilihat apabila reformasi Parlimen dilaksanakan, seperti di negara Barat.

"Kita harus membenarkan rakyat diberikan akses kepada Dewan Rakyat jika jumlah tertentu dipenuhi untuk mengumpulkan tandangan bagi sesuatu petisyen berkenaan kepentingan orang ramai dibahaskan," katanya. – 18 Mei, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.