Followers

Monday, May 25, 2015

6,000 Kakitangan MAS akan ditamatkan perkhidmatan?

 
Pada tahap ini kebimbangan 20,000 pekerja syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) berada pada tahap yang paling tinggi namun semangat mereka adalah yang terendah.

Dalam masa beberapa hari sahaja lagi, mereka akan menerima surat sama ada penamatan kerja atau surat tawaran semula untuk berada di syarikat berkenaan di bawah pengurusan baharu.

MAS sebagai salah satu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terbesar di negara ini akan menamatkan keseluruhan tenaga kerjanya bagi memulakan semula syarikat penerbangan itu dalam skala yang lebih kecil dengan memberi tumpuan kepada pasaran serantau dan bukannya antarabangsa.

Satu-satunya individu yang terselamat adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Christoph Mueller, yang telah dilantik untuk menerajui syarikat penerbangan baharu itu dan menguruskan peralihannya.

Tiada GLC di Malaysia yang pernah memecat hampir keseluruhan pekerjanya dan ia juga mungkin menjadi sejarah di negara ini apabila bakal menyaksikan pemecatan dalam jumlah yang besar berlaku dalam masa sehari.

Namun langkah ini adalah sebahagian daripada usaha terakhir untuk menyelamatkan MAS yang dibebani hutang selama beberapa tahun termasuk sebelum tragedi berkembar MH370 dan MH17.

Hari ini (Isnin), pentadbir akan dilantik. Beliau adalah Datuk Mohammad Faiz Azmi iaitu Pengarah Eksekutif firma perundingan dan audit PricewaterhouseCoopers.

Beliau akan menandatangani semua surat-surat penamatan kerja yang akan diserahkan pada Rabu ini.

Salah seorang kakitangan MAS berkata: "Saya ingat GLC adalah tempat yang paling selamat untuk bekerja, tetapi sekarang saya tidak tahu jika saya akan mempunyai pekerjaan pada 1 Jun."

Kata kakitangan yang tidak mahu namanya disiarkan itu lagi: "Ia adalah masa yang sangat menyedihkan dalam hidup saya. Saya tidak pernah terfikir hari ini akan datang sejak saya mula-mula menyertai syarikat penerbangan ini lebih daripada dua dekad yang lalu.

"Saya tidak boleh berfikir tentang bagaimana saya akan membayar pinjaman perumahan dan kereta saya."

Pemberhentian beramai-ramai ini bertujuan mengurangkan penghijrahan kakitantan MAS sedia ada ke dalam sebuah syarikat baru iaitu MAS Bhd yang akan memulakan operasi pada 1 September depan.

Kira-kira dua pertiga daripada 20,000 kakitangan akan ditawarkan pekerjaan dengan perjanjian baharu.

Dilaporkan sebelum ini bahawa seramai 6,000 kakitangan akan dipecat tetapi maklumat terbaharu daripada sumber berkata bahawa pada hakikatnya angka berkenaan merujuk kepada peranan yang akan dikurangkan dan tidak mustahil ada diantara tugas sebelum ini dilakukan lebih daripada seorang kakitangan.

Jadi sumber berkata jumlah terakhir kakitangan yang akan diberhentikan mungkin mencecah lebih daripada 8,000 namun ia akan dilakukan secara berperingkat dalam tempoh setahun.

"Jumlah 6,000 itu akan ditamatkan pada masa yang sama. Bagaimanapun ada yang akan diberhentikan secara berperingkat untuk menguruskan proses peralihan.

"Sesetengah daripada mereka juga akan ditawarkan kontrak jangka pendek di MAS Bhd," kata sumber berkenaan.

Kakitangan mungkin akan menerima dua pucuk surat - pertamanya bertujuan menamatkan perkhidmatan mereka dengan MAS dan sama ada tawaran lain untuk menyertai MAS Bhd atau tawaran untuk melapor diri ke Pusat Pembangunan Korporat (CDC) yang ditubuhkan untuk melatih semula pekerja dipecat.

"Tiada pekerjaan adalah selamat, tetapi sesetengah orang memang jelas selamat," kata seorang kakitangan.

Beliau berharap pihak pengurusan sedia ada tidak akan ditawarkan menguruskan MAS Bhd, namun sumber berkata harapan itu mungkin tidak kesampaian.

Mueller memerlukan peralihan yang sempurna.

Berdasarkan temu bual dengan Cambridge University tahun lalu, Mueller berkata tahun pertama penstrukturan semula adalah seperti pergi ke perang dan ia adalah "sukar untuk mewujudkan satu pasukan yang menang dari pasukan pengurusan sedia ada dalam tempoh pemulihan".

Apa juga strategi, Mueller kini sibuk menguruskan rancangan perniagaan yang sukar untuk sebuah syarikat penerbangan yang baharu.

Bukan itu sahaja, sebanyak 3,779 kontrak pembekalan sedang dibuat semula di bawah syarat-syarat baru, termasuk katering kontroversi, Brahim Holding Bhd.

Sebilangan besar perlu meninggalkan MAS serta-merta tetapi mereka hanya akan menerima gaji dan faedah pada akhir Ogos depan.

CDC akan dibuka pada 1 Jun untuk menawarkan perkhidmatan penempatan dan latihan percuma untuk kakitangan.

Minggu ini CDC membuka sebuah kiosk di premis MAS terutamanya di kafeteria, namun menyaksikan sambutan yang tidak menggalakkan daripada kakitangan.

"Mereka tidak sensitif. Sebelum kami mendapat surat lagi, mereka sudah buat begini. Saya tidak dapat makan dengan sempurna sekarang," kata seorang kakitangan.

Mereka yang dipecat akan dibayar pampasan, tetapi jumlah yang mungkin diterima mungkin tidak sebanyak seperti di bawah perjanjian kolektif (CA).

Malah mereka yang ditawarkan semula bekerja dengan MAS Bhd juga akan mendapatkan sejumlah wang dalam bentuk bonus, tetapi formulanya masih tidak diketahui.

Satu sumber berkata, memandangkan keadaan kewangan MAS yang tidak baik, ia tidak akan dapat menawarkan formula pembayaran seperti yang dinyatakan dalam pelbagai perjanjian kolektif iaitu satu bulan bagi setiap tahun genap perkhidmatan dan sebulan setengah untuk pekerja yang berkhidmat lebih 10 tahun.

Sumber itu berkata pemilihan kakitangan yang akan ditawarkan semua dibuat berdasarkan kepada prestasi.

"MAS akan mengetahui berapa ramai yang menerima tawaran menyertai MAS Bhd pada 12 Jun.

"Mereka harus mempunyai pelan luar jangka jika angka yang menerima tawaran tidak sepadan apa yang mereka harapkan.

"Juruterbang dan anak kapal menerima permintaan daripada beberapa syarikat penerbangan termasuk Korea Airlines dan Qatar Airways berikutan mereka sudah menjalankan pameran bergerak untuk menarik anak-anak kapal MAS," kata sumber itu lagi.

Urusan kejatuhan akan menjadi ujian terbesar MAS kerana akan ada kakitangan yang akan puas hati setelah mendapat surat mereka lapor mStar

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.