KUALA LUMPUR 3 APRIL: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memanggil semua komponen Pakatan Rakyat bermesyuarat dalam waktu terdekat dengan agenda membela rakyat.
WAWI “Saya sedang berusaha supaya satu mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dapat diadakan dalam tempoh dua minggu ini dengan meletakkan agenda pembelaan rakyat sebagai keutamaan teratas,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Wan Azizah, beberapa agenda utama akan dibincangkan dalam mesyuarat itu nanti meliputi aspek mengawalselia pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk memastikan rakyat tidak terus menjadi mangsa, dan dalam masa sama menyokong segala usaha membantah pelaksaaan cukai tersebut.
Katanya, tindak balas Pakatan Rakyat ekoran siri penangkapan ke atas aktivis, pimpinan politik dan pengamal media yang menunjukkan terhakisnya ruang demokrasi di negara ini juga akan dibawa dalam pertemuan itu nanti.
“Selain itu, kerjasama yang lebih fokus untuk mempercepatkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang masih belum mendapat bantuan sepenuhnya,” jelas Wan Azizah lagi.
Sambung Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang itu, persediaan bersama menghadapi pilihan raya yang makin dekat terutama Pilihan Raya Negeri Sarawak, termasuk agenda yang akan dibincangkan.
“Saya percaya rakyat memerlukan pimpinan politik untuk kembali mengangkat agenda membela rakyat dan cuba menangani perselisihan secara berhikmah.
“Ini bukanlah bermakna kita tidak mengambil peduli pergeseran sesama kita, tetapi sekiranya perselisihan itu dibincangkan dengan berpaksikan agenda pembelaan rakyat sebagai keutamaan, saya yakin ia boleh diselesaikan dengan baik,” kata Wan Azizah dalam kenyataan.
Beliau turut khuatir dengan beberapa perkembangan mutakhir mengenai Pakatan Rakyat termasuk keputusan DAP dan KEADILAN di Sabah dan Sarawak berhubung kerjasama dengan PAS.
“Sementara saya menghormati kedudukan DAP dan KEADILAN di Sabah dan Sarawak yang mempunyai autonomi, saya berharap agar keputusan-keputusan itu juga dapat dibincangkan dengan lebih teliti di peringkat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam masa terdekat,” ujarnya.
“Saya berdoa agar pimpinan Pakatan Rakyat diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk menguatkan saf berhadapan dengan Barisan Nasional dalam keadaan pelbagai masalah masyarakat semakin menekan rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Posted & copy by RAKYAT MARHAEN.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.