Followers

Saturday, April 4, 2015

Umno Pmtg Pauh serah nama 3 calon PRK

 
 

Umno bahagian Permatang Pauh telah mencadangkan tiga nama kepada pucuk pimpinan parti untuk dipilih sebagai calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Permatang Pauh.
  
Ketuanya, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata beliau telah mengemukakan nama tersebut kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pertemuan empat mata di bangunan Parlimen, semalam.
  
"Saya telah pun menjelaskan kepada perdana menteri tentang permohonan kami yang mahukan calon anak tempatan, anak Permatang Pauh.
  
"Bagaimanapun, tidak ada lagi keputusan tentang siapa yang dirasakan sesuai menjadi calon. Saya sudah berikan pandangan kepada perdana menteri dan menyerahkan kepada pucuk kepimpinan untuk membuat keputusan.
  
"Kami akan akur dan menerima siapa sahaja calon yang akan dipilih kelak," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan peruntukan projek bekalan dan peralatan Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Permatang Pauh bernilai RM49,500 kepada 19 penerima di Pertubuhan Peladang Kawasan Kampung Pelet, di Bukit Mertajam, hari ini.

Mohd Zaidi berkata dalam pertemuan itu, beliau turut membincangkan perancangan untuk membantu masyarakat di Permatang Pauh yang meliputi pelajar, belia, ibu tunggal dan pembangunan infrastruktur.
  
Kerusi Parlimen Permatang Pauh diisytihar kosong apabila penyandang Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen pada 16 Mac lepas selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon melalui keluarganya pada 24 Feb lepas.
  
Anwar, yang juga Ketua Pembangkang, kini menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
  
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas berhubung pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh Rabu ini (8 April).
  
Ditanya mengenai unsur sabotaj jika ada calon kecewa kerana tidak dipilih, Mohd Zaidi berkata beliau mengenali secara peribadi semua nama yang dicadangkan itu dan yakin perkara itu tidak berlaku.
  
"Saya nampak lebih ramai orang yang tak mahu jadi calon daripada mahu menjadi calon. Jadi, saya rasa kita boleh selesaikan (jika berlaku unsur sabotaj)," katanya.
  
Pada Pilihan Raya Umum 2013, Anwar mengekalkan kubu kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Permatang Pauh apabila menewaskan calon BN, Dr Mazlan Ismail dengan majoriti 11,721 undi.
  
-Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.