Followers

Friday, April 17, 2015

Surat untuk Zam Fa Abdul

 
siti-che-ta

Tulisan Zam dalam blognya berhubung sokongan Siti Nurhaliza terhadap Tun M dipertikai.

“Sokongan Siti Nurhaliza terhadap Tun Mahathir sudah lebih dari cukup untuk menutup ribuan sokongan kepada Najib dari seluruh bahagian UMNO,Pemuda UMNO, NGO dan lain-lain sokongan yang dipentaskan.”

Kenyataan itu ditulis Tan Sri Zainuddin Maidin menerusi artikelnya ‘Siti Nurhaliza merbahaya kepada Datuk Seri Najib’ yang terpapar di dada blognya – Zamkata, pada hari Khamis.

Wah, begitu hebat sekali sokongan Siti sehinggakan suara-suara rakyat dari serata Malaysia bagaikan desiran angin bagi Zam.

Nampak gayanya, tak perlu lagilah saya dan rakan-rakan sibuk menulis bingkisan menceriterakan pandangan serta pendapat kami. Eleh, apalah gunanya bersusah payah mengarang rencana sedangkan kita kan ada Siti Nurhaliza, Rozita Che Wan dan segerombolan artis-artis tempatan yang mana suara serta kejelitaan mereka memainkan peranan yang lebih penting berbanding dengan suara rakyat. Kan begitu Zam?

Sesungguhnya Tan Sri, sebodoh-bodoh gelaran ‘bodoh’ yang dilemparkan pada pihak media yang tidak mensensasikan pandangan Siti dan Che Ta menerusi laman Instagram mereka, bodoh lagi pihak yang melemparkan pandangan yang sangat sempit bahawasanya suara keramat artis tersebut memadai untuk mewakili segenap rakyat.

Saya akui suara Siti sememangnya lunak merdu. Dan saya akui kejelitaan Che Ta terserlah (walaupun disebalik solekan 2 incinya itu), tetapi rakyat tidaklah begitu bodoh sehinggakan meletakkan pendirian mereka berasaskan pandangan artis pujaan masing-masing.

Kalau dituruti teori Tan Sri Zam itu, semua kempen politik juga sepatutnya menggunakan Siti dan Che Ta sahaja memandangkan apa saja yang disokong mereka pasti akan menjadi turutan peminat dan rakyat jelata, kan?

Mungkin juga jika Siti yang menyanyikan lagu GST, pasti segenap masyarakat yang berbuih mulut mencemuh GST di media sosial akan berubah sikap dan menerima GST. Bukankah begitu?

Paling hebat, pilih sahaja Siti dan Che Ta sebagai anggota kabinet di masa hadapan, pasti BN akan menang di dalam setiap pilihanraya yang akan datang. Hebat kan?

Aduhai Tan Sri Zainuddin Maidin, usah dilupa, rakyat juga ada otak. Ada akal. Ada pendirian sendiri. Ada pandangan masing-masing. Seperti Siti dan Che Ta yang mahu menyuarakan pandangan mengenai hal ehwal politik, kami juga mahu suara kami didengar.

Sesungguhnya suara selebriti tempatan adalah juga sebahagian daripada suara rakyat dan tidak mewakili pendirian segenap masyarakat.

Biarpun pendirian Siti dan Che Ta yang menyokong penuh Tun Mahathir itu sejajar dengan pandangan sebahagian besar lapisan masyarakat termasuklah diri saya sendiri, Namun kenyataan Zam yang lebih menekankan suara artis berbanding suara rakyat adalah suatu tindakan yang kurang tepat pada hemat saya.

Kalaupun kita fikirkan dengan mendalam, setiap media ada pandangan masing-masing tentang nilai berita yang dipaparkan. Peliknya dalam pada Zam menghangatkan isu media yang gagal memaparkan intipati Instagram kedua artis tersohor tempatan itu, tidak pula Zam berbicara tentang sikap berat sebelah yang menjadi tulang belakang kebanyakkan media kita.

Bukankah sejak azali lagi akhbar tempatan di negara kita sudah menunjukkan sikap memilih bulu dengan memaparkan rencana berbunyi pro kerajaan sedangkan rencana pro pembangkang dilemparkan jauh-jauh? Dan ada pula media kita yang suka benar memutar belitkan berita – mengapa pula Tan Sri Zainuddin tidak menegur perkara tersebut?

Ahh, mungkin ketika itu Tan Sri sibuk memperdengarkan lagu Cindai dendangan Siti agaknya…


FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.