Sultan
Sharafuddin Idris Shah membidas kerajaan negeri Selangor kerana
menggunakan slogan 'Kita Lawan' mewakili kontinjen negeri itu untuk
beraksi di Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 di Sarawak tahun depan.
Sultan Selangor bertitah, slogan itu
diguna pakai oleh salah sebuah parti politik dan baginda tidak setuju
dengan sebarang cubaan mencemari bidang sukan dengan elemen politik atau
perkauman.
Disebabkan itu, kerajaan Pakatan Rakyat
(PR) diarahkan mencari slogan lain yang tidak kontroversi dan boleh
membawa nama baik kepada wakil atlet dan pasukan ke Sukma.
"Beta tidak berkenan dengan slogan
Kontinjen Sukan Selangor 'Kita Lawan' untuk Sukma 2016 sebagaimana yang
dimaklumkan di persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor dan disiarkan
media massa.
"Ini kerana, slogan 'Kita Lawan' diguna pakai oleh sebuah parti politik.
"Justeru itu, Beta tidak mahu masyarakat
umum tersalah tafsir atau menganggap kontinjen Selangor
mencampur-adukkan atau cuba berpolitik dalam sukan," titahnya pada
Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor Darul Ehsan di Subang Jaya, hari
ini.
Titahnya, badan sukan, atlet dan
penyokong perlu mengenepikan fahaman politik kerana semangat sukan tidak
sepatutnya dicemari dengan unsur politik atau perkauman.
Sukan, katanya, ialah aktiviti yang
dijadikan platform memupuk perpaduan kaum dan tidak hanya dikhaskan
kepada satu bangsa atau kaum sahaja.
Baginda juga menitahkan supaya politik tidak dibawa masuk ke dalam pentadbiran sukan.
Penggunaan slogan itu diumumkan Exco Pembangunan Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari bulan lalu.
#KitaLawan merupakan nama yang digunakan
dalam kempen PR dalam usaha membebaskan Ketua Umum PKR, Datuk Seri
Anwar Ibrahim yang dipenjarakan lima tahun oleh Mahkamah Persekutuan.
Ia mengajak rakyat turun ke jalanan
sejak bulan Februari lalu dan merancang mengadakan himpunan
besar-besaran pada 1 Mei ini di Kuala Lumpur, membantah pelaksanaan
cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Pada Sukma 2013, Selangor menjuarai
kejohanan itu menggunakan tema 'Kali Inilah', seakan tema 'Ini Kalilah'
yang digunakan PR semasa kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu.
Namun, baginda menegur kedudukan Selangor yang jatuh merosot di tangga ke-4 Sukma tahun lalu.
Prestasi pasukan bola sepak titahnya,
juga merosot, apabila gagal merebut Piala Malaysia pada tahun
kebelakangan ini, malah tidak sampai ke peringkat akhir.
"Kerajaan Negeri Selangor banyak menyediakan kemudahan sukan, sama ada 'indoor' atau 'outdoor,' di setiap daerah.
"Ini termasuklah kemudahan bagi sukan
bola sepak dan badminton yang merupakan sukan popular di kalangan rakyat
dan perkembangannya diikuti seluruh lapisan masyarakat.
"Maka atlet dan pasukan yang mewakili
negeri Selangor sepatutnya menjadi juara di setiap kejohanan sukan,
tetapi mengapa perkara tersebut tidak berlaku?" soal baginda.
Baginda bimbang pasukan negeri akan berada di zaman kemunduran jika perkara tersebut tidak ditangani dengan baik.
Baginda turut menegur pentadbiran dan
pengurusan kelab serta persatuan sukan Selangor yang menghadapi masalah
dalaman sehingga mengakibatkan prestasi sukan menjadi mundur.
Titahnya, walaupun Selangor mencapai
tahap negeri maju, tetapi bidang sukannya semakin merosot dan mundur
serta tidak mengikuti kemajuan yang dicapai negeri.
Sultan Sharafuddin juga membidas masalah
pengurusan kewangan persatuan sukan yang menurutnya kurang mempunyai
perancangan jangka panjang dan tiada peruntukan kewangan yang seimbang.
"Jika keadaan yang negatif ini
berterusan, ia akan melemahkan semangat para atlet dan pemain di mana
akhirnya akan menjejaskan prestasi mereka.
"Oleh itu beta berharap, para pengurus
dan pegawai sukan hendaklah memberikan sepenuh komitmen dan bekerja
bersungguh-sungguh sebagai satu pasukan bagi memastikan kegemilangan
sukan negeri ini dikekalkan.
"Beta suka mengingatkan kepada pegawai
persatuan supaya tidak bertelagah sesama sendiri atau menyimpan perasaan
hasad dengki dan cuba menjatuhkan antara satu sama lain," katanya.TMI
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.