Followers

Friday, April 17, 2015

Sultan Selangor berkenan naik LRT, monorel

 
 

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini merasai sendiri pengalaman menggunakan perkhidmatan RapidKL LRT dan monorel di sekitar Lembah Klang.

Baginda tiba di Stesen LRT Kelana Jaya dan mendengar taklimat Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Tan Sri Ismail Adam dan Pengarah Urusan Kumpulan Azmi Abdul Aziz sebelum menaiki Putra LRT melalui sembilan stesen menuju KL Sentral.

Sebaik tiba di KL Sentral, Sultan Selangor disambut oleh Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar dan Pengarah Urusan Kumpulan MRCB Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Rombongan berkenaan meneruskan perjalanan dengan menaiki monorel terbaru dari Stesen KL Sentral menuju Stesen Bukit Nanas.

Jurucakap diraja berkata lawatan tersebut dijadual berikutan titah baginda pada Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor pada awal bulan ini.

"Tuanku meluahkan keprihatinan terhadap pengangkutan awam dan memandangkan tiga suku daripada laluan berada dalam negeri Selangor, baginda mahu merasai sendiri pengalaman menaikinya," katanya kepada pemberita.

Katanya, Sultan Selangor memuji Prasarana atas kejayaan mengoperasikan pengangkutan awam dengan baik dan berharap rakyat dapat memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan pengangkutan awam kerana ia juga dianggap mesra alam.

Sementara itu, Ismail berkata Sultan Selangor telah terlebih dahulu menyatakan hasrat merasai sendiri pengalaman menggunakan pengangkutan awam terutamanya sistem landasan.

"Selepas kunjungan hari ini, Tuanku Sultan melahirkan keyakinan bahawa pengangkutan awam merupakan satu cara mengatasi masalah lalu lintas di Lembah Klang," katanya.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.