Followers

Sunday, April 19, 2015

Putrajaya perlu penuhi syarat Selangor bangunkan PR1MA, kata Azmin OLEH DIYANA IBRAHIM

Selangor akan setuju beri tanah kepada Putrajaya bagi pembinaan rumah PR1MA jika syarat diikuti, kta Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

Selangor akan setuju beri tanah kepada Putrajaya bagi pembinaan rumah PR1MA jika syarat diikuti, kta Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

Selangor hari ini menegaskan, kerajaan negeri hanya akan bersetuju memberi tanah kepada Putrajaya bagi pembinaan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sekiranya kerajaan persekutuan mengikuti syarat yang ditetapkan negeri.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata Selangor tidak pernah menolak projek PR1MA seperti dakwaan sesetengah pihak tetapi kurang bersetuju dengannya ketika ini.

Beliau berkata, ia tidak memberi laluan kepada PR1MA kerana objektif badan perumahan tersebut didakwanya tersasar daripada matlamat membina rumah mampu milik bagi kemudahan rakyat.

"Kita bukan tak nak bagi tanah kepada PR1MA, itu tidak betul. Beri kita bukti yang kita (kerajaan negeri) tolak permohonan PR1MA.

"Masalahnya, PR1MA membangunkan rumah terlalu mahal untuk rakyat miliki. Harga RM400,000 itu bukan rumah mampu milik, ia rumah mampu tengok," katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah dan pelancaran rumah Selangorku di Kampung Jawa, Klang hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan yang kerajaan negeri sebelum ini tidak memberikan tanah kepada Putrajaya untuk membina rumah di bawah projek PR1MA di Selangor.

Pada Disember tahun lepas, Azmin berkata, Selangor merancang membina rumah mampu milik berharga antara RM100,000 dan RM220,000 bagi memberi kelegaan kepada rakyat memandangkan projek kerajaan persekutuan PR1MA dianggap gagal.

Katanya, selain hakikat yang sehingga kini tiada satu pun unit rumah di bawah PR1MA yang dapat dilihat, harganya yang mencecah RM400,000 seunit disifatkan hanya sebagai rumah "mampu tengok".

Datuk Mohd Shamsudin Lias kemudiannya dilaporkan meminta Azmin berhenti berpolitik dalam isu itu dan sebaliknya menyediakan tanah secukupnya bagi pelaksanaan PR1MA, bukannya mempersoalkan tanggungjawab kerajaan pusat membinanya.

Kata bekas ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, Azmin perlu menunjukkan komitmen dalam perkara itu memandangkan hal ehwal pentadbiran serta premium tanah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, manakala syarat-syarat pembangunan pula di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).

Azmin hari ini berkata kerajaan Barisan Nasional tidak boleh datang meminta tanah kerajaan negeri tetapi melakukan perkara yang bertentangan dengan dasar Selangor.

Beliau turut mempersoalkan keengganan PR1MA akur dengan syarat kerajaan negeri sedangkan situasi sama tidak berlaku apabila berurusan dengan syarikat pemaju lain seperti Sime Darby.

"Mengikut definasi kerajaan negeri, rumah mampu milik tidak lebih RM250,000. Kalau PR1MA nak terlibat dengan kerajaan negeri, mereka mesti patuh pada dasar kita.

"Kita tidak benarkan rumah mampu milik lebih RM400,000 sebab nanti bebankan rakyat atas faktor cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan kos sara hidup tinggi.

"Tanggungjawab kita sediakan perumahan, tetapi yang mampu dimiliki rakyat," kata ahli Parlimen Gombak itu.

Bagaimanapun, beliau juga mengakui kerajaan negeri tidak menerima sebarang permohonan rasmi dari Putrajaya untuk mendapatkan tanah bagi pembinaan PR1MA.

Bagaimanapun, Azmin berkata kerajaan negeri tetap bersedia mempertimbangkan permohonan PR1MA dengan syarat ia mesti mematuhi peraturan ditetapkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Katanya PR1MA juga tidak punyai pilihan selain akur dengan syarat kerajaan negeri kerana persetujuan meluluskan projek itu akan menyebabkan Selangor kehilangan hasil.

"Kita beri banyak insentif. Sebab itu Selangor kehilangan hasil, sebab premium kita turunkan, caj pembangunan ditangguhkan.

"Sebagai balasan, kerajaan persekutuan perlu mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan Lembaga Perumahan," katanya.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.