Followers

Wednesday, April 1, 2015

Putrajaya mahu tanah Selangor kerana ekonomi hampir bankrap, kata Azmin OLEH JAMILAH KAMARUDIN


Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata Putrajaya menginginkan tanah Selangor kerana ekonomi kerajaan pusat hampir bankrap.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata Putrajaya menginginkan tanah Selangor kerana ekonomi kerajaan pusat hampir bankrap.

Tindakan Putrajaya yang menginginkan aset Selangor termasuk tanah, melalui perjanjian penstrukturan semula industri air negeri dengan kerajaan persekutuan, disebabkan faktor ekonomi kerajaan pusat yang hampir bankrap, kata Mohamed Azmin Ali.

Salah satunya puncanya, kata Menteri Besar Selangor itu, disebabkan hutang yang ditanggung syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau mendakwa, disebabkan terpaksa menanggung hutang 1MDB, Putrajaya tidak ada wang untuk menyelesaikan perjanjian dan mahu aset tanah Selangor dijadikan sumber kewangan mereka.

"Saya tidak pasti sebab apa kerajaan pusat ingin berbuat demikian, kerana saya bukan dalam kalangan kelompok kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Ada kemungkinan faktor ekonomi, kerajaan pusat hampir bankrap dan tiada wang untuk selesaikan perjanjian.

"Selain itu, kerajaan juga tiada wang disebabkan hutang 1MDB yang mencecah RM45 bilion," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-13 di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Adun DAP-Sekinchan, Ng Suee Lim tentang hasrat Putrajaya sebelum ini yang mahu memiliki semua aset termasuk tanah Selangor melalui perjanjian penstrukturan industri air negeri.

Namun dakwaan itu dipersoalkan Adun BN-Sungai Burong Datuk Mohd Shamsudin Lias yang mahu Azmin mengemukakan bukti wujudnya kaitan isu tanah dengan hutang 1MDB yang menyebabkan kerajaan pusat hampir muflis.

Azmin berkata, perkara itu dinyatakan sendiri mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengkritik cara Putrajaya menguruskan hutang 1MDB.

"Dalam taklimat Dr Mahathir ada fakta yang sahih. Bagaimana kerajaan korup boleh dibenarkan ada kaitan langsung dengan pemimpin tertinggi, boleh berhutang sehingga RM45 bilion? Ini memberi kesan kepada ekonomi negara," katanya.

Sementara itu, Shamsudin ketika ditemui pemberita di luar dewan berkata, dakwaan Azmin itu berniat jahat kerana penstrukturan air Selangor tidak ada kaitan dengan isu nasional seperti 1MDB dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Tidak ada kaitan dengan muflis. Kita tengok laporan kewangan negara sendiri, kalau keadaan hutang di bawah 50%, ia termasuk (dalam kategori) boleh diurus.

"Saya amat kesal dengan apa yang dikatakan menteri besar itu yang menuduh secara melulu, sedangkan masalah itu ditimbulkannya sendiri.

"Sewaktu menteri besar yang dahulu (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim), sepatutnya ia diteruskan sahaja.

"Tindakan melengahkan ini sebenarnya akan menjejaskan masalah air di Selangor."

Mengenai aset loji air di Bukit Nanas dan Semenyih, bekas ketua pembangkang negeri itu berkata, ia merupakan harta wilayah kerana terletak di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Ini alasan mereka. Mereka kata kedua-dua loji ini di bawah kerajaan negeri, kerana sebelum ini diuruskan oleh Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor), tetapi hakikatnya ia tanah milik Wilayah (Kuala Lumpur) dan Putrajaya, kerana itu tidak boleh dipindah milik," kata Shamsudin.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.