PROTON
Holdings Bhd mengumumkan harga baharu model terpilih kenderaannya yang
dikurangkan sehingga RM1,475 atau 3.25 peratus seunit berkuat kuasa hari
ini berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Harga di atas jalan itu termasuk kesemua
model Proton iaitu Saga, Persona, Inspira, Staria Neo, Exora, Prevé,
Suprima S dan Iriz, kata syarikat itu dalam satu kenyataannya.
Kesemua harga berkenaan termasuk cukai enam peratus sebagaimana ditetapkan CGT.
"Pengguna bukan sahaja membeli kereta
yang bernilai untuk wang mereka, tetapi turut memiliki kualiti serta
ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan.
"Sebagai contoh, pengguna boleh membeli
seunit Proton Saga pada harga serendah RM33,242.40 atau memiliki Prevé
1.6L Turbo pada harga RM61,023.46," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya,
Datuk Abdul Harith Abdullah.
Proton berkata, sebagai satu-satunya
pengeluar kereta yang lengkap sepenuhnya di rantau ini, ia sentiasa
berdedikasi untuk memenuhi peranan berkhidmat kepada negara, khususnya
bagi memenuhi matlamat pelaksanaan GST berkenaan.
Malah, atas alasan itu, biarpun perlu
mengurangkan harga keretanya, Proton sebaliknya telah meningkatkan nilai
produk menerusi aspek keselamatannya.
Ini sekaligus turut memaparkan komitmen
Proton untuk terus mempertingkat produk dan perkhidmatannya di semua
peringkat dan menawarkan rakyat Malaysia pilihan memiliki kereta yang
selamat, berkualiti dan bernilai untuk wang.
Maklumat lanjut boleh diperolehi di laman web www.proton-edar.com.my. - Bernama
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.