Followers

Thursday, April 30, 2015

Pasar raya ‘perang harga’ kerana GST - FMT Reporters

 
Ahmad-Maslan_gst_new_600

Tindakan pasar raya Mydin menyerap GST sekaligus mengekalkan harga barangan mendorong pasar raya lain untuk melakukan perkara sama bagi menarik pelanggan.

PETALING JAYA: Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) telah mewujudkan perang harga antara pasar raya besar di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, ia sekaligus memberi kebaikan kepada rakyat apabila barang-barang keperluan mengalami penurunan harga.

Katanya, tindakan Pasar Raya Mydin menyerap GST telah mendorong pasar raya besar seperti Giant, Tesco, AEON dan beberapa lagi pasar raya untuk menurunkan harga.

“Ini sudah tentu memberi kebaikan kepada rakyat. Inilah yang yang saya cuba sampaikan bahawa GST memberi kebaikan kepada rakyat,” katanya ketika ditemubual dalam program Ruang Bicara di Bernama TV pada Rabu.

Ahmad Maslan berkata, restoran makanan segera turut menurunkan harga atau mengekalkan harga asal selepas pelaksanaan GST.

Beliau memberi contoh, KFC menurunkan harga 30 menu manakala 15 menu lagi dikekalkan harga selepas pelaksanaan GST.

Katanya, langkah KFC itu telah mendorong McDonalds untuk mengambil langkah sama bagi menarik pelanggan.

Ahli Parlimen Pontian itu mengulangi dakwaan bahawa kenaikkan harga barang secara sewenang-wenangnya adalah disebabkan peniaga pembangkang.

Katanya, peniaga pembangkang itu tidak semestinya penyokong pembangkang tetapi juga peniaga yang enggan mematuhi standard prosedur GST.

Katanya, peniaga-peniaga ini telah menaikkan harga barang sesuka hati dan cuba menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan.

Ahmad Maslan menegaskan GST adalah sistem pencukaian yang baharu untuk menjadikan Malaysia negara maju sejajar dengan Wawasan 2020 yang diilhamkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam temubual itu, beliau memberi penjelasan berhubung kenyataan yang didakwa dibuatnya bahawa hanya orang kaya akan dikenakan GST.

Katanya, media berkenaan tersilap lapor kerana apa yang dimaksudkannya ialah orang kaya akan lebih dikenakan GST berbanding orang miskin.

Ahmad Maslan mengaku beliau telah dihina dan dicaci dengan begitu teruk oleh rakyat yang tidak faham kebaikan GST.

Bagaimanapun, beliau telah memaafkan perbuatan itu kerana dengan cara itu hatinya lebih tenang dan senang untuk tidur.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.