Rang undang-undang persendirian Hadi tidak dibentang sesi ini
Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bagi meminda Akta 355 yang membolehkan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, tidak akan dibentangkan pada sesi sidang Dewan Rakyat kali ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim memberitahu Dewan Rakyat hari ini, ia akan dibawa ke sesi akan datang yang dijadualkan bermula 18 Mei depan.
Katanya, sidang Dewan Rakyat sesi sekarang berakhir hari ini dan hanya membentangkan RUU daripada menteri dalam negeri membabitkan RUU Hasutan (Pindaan) 2015 serta usul dibawa Menteri Kewangan.
Ditemui di luar Dewan, Shahidan menafikan yang penangguhan RUU itu mempunyai kaitan dengan tiadanya pengumuman mengenai pendirian rasmi kerajaan Barisan Nasional atau Datuk Seri Najib Razak berhubung undang-undang Islam itu.
Beliau memberitahu The Malaysian Insider, perdana menteri tidak seharusnya dikaitkan dengan pelaksanaan hudud oleh PAS di Kelantan itu kerana sokongan yang ditunjukkan Umno Kelantan terhadap enakmen jenayah Syariah negeri itu sudah memadai.
"Bila Umno kelantan menyokong hudud, apa maknanya? Adakah Umno Kelantan itu Umno persendirian? (Ahli) Umno Kelantan adalah (ahli) Umno Pusat, Umno Malaysia. Ia yang akan beri keputusan dan pandangan.
"Kenapa mahu dirujuk pada Najib? Hal Umno dirujuk pada Umno, dengan bermesyuarat. Apa kena mengena hudud dengan Najib?" soalnya sampai mengakui kenyataannya itu merupakan pandangan peribadinya.
Ahli Parlimen Arau itu berkata, kuasa untuk memutuskan sama ada sesuatu RUU dapat dibahaskan di Parlimen atau tidak, diputuskan sepenuhnya oleh Speaker.
"Speaker akan benarkan RUU dibentang mengikut keutamaan dan melihat siapa yang perlu didahulukan.
"Dan, ia bukan sahaja mengenai RUU kerajaan, tapi juga RUU persendirian yang dibawa lebih awal.
"Kita tidak cukup masa, kerana itu RUU harus dihantar lebih awal kepada Speaker," katanya kepada The Malaysian Insider di lobi Parlimen.
Isu hudud timbul selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) pada 19 Mac lalu dan Hadi menghantar notis pemberitahuan memohon membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen pada sidang kali ini.
Pindaan tersebut diluluskan DUN dengan majoriti sebulat suara apabila turut mendapat sokongan pembangkang di Kelantan, iaitu wakil rakyat Umno.
Namun, langkah Hadi itu dikecam hebat khususnya pemimpin DAP, malah PKR juga tidak menyatakan sokongan terhadap keputusan Hadi itu yang dikatakan dibuat membelakangi majlis pimpinan Pakatan Rakyat. -TMI
ULASAN GB
Memang sudah dijangka, RUU Persendirian Presiden PAS tidak akan dapat dibentangkan pada sesi ini walaupun Presiden PAS mmerasa yakin ianya dapat dibentangkan.
Rupa-rupanya RUU Persendirian disenaraikan untuk sesi ini hanyalah untuk mengaburi PAS dan untuk menipu Haji Hadi.
Tak sedar lagikah dan buka mata lagikah perangai UMNO, wahai pemimpin PAS? Berapa kali mahu terjelepuk ke dalam lubang biawak?
Kelab Greenboc
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.