Followers

Wednesday, April 29, 2015

Najib terbangkan penerima BR1M ke KL

 
 

Seorang ibu tunggal di sebuah rumah panjang di Sarawak dan pengusaha salon kecantikan di Sabah adalah antara beberapa contoh individu yang mendapat nikmat daripada Program Transformasi Kerajaan (GTP) setakat ini.

Nama Puan Dayah anak Mamut, 41, pengawal keselamatan sekolah di Betong dan Clarissa Balicao dari Kota Marudu disebut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa melancarkan laporan GTP dan Program Transfomasi Ekonomi (ETP) 2014 di Auditorium Perdana Angkasapuri malam ini.

Turut disebut oleh Najib sebagai bukti keberkesanan GTP ialah Karupaya a/l Muthukanoo dari Pandamaran, Klang; Ruqaiyah Azahari dan adik Nor Izzati Sabrina dari Ipoh.

Najib menyebut nama-nama tersebut dalam ucapannya, kerana menurut beliau, rakyat mungkin bertanya apakah kaitan laporan GTP kepada kehidupan seharian mereka.

Dayah, yang menanggung persekolahan empat orang anak berusia 11 hingga 20 tahun, adalah antara tujuh juta isi rumah dan individu yang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Clarissa pula antara contoh kejayaan program Akhiri Zaman Miskin atau 1AZAM yang kini memiliki salon sendiri di Kota Marudu, Sabah dan mampu menjana pendapatan lebih RM6,000 sebulan, kata Najib.

"Berkat kesungguhan untuk mengubah nasib hidup dan keluarganya, beliau (Clarissa) telah mendaftarkan diri dalam program 1AZAM dan menyertai pelbagai latihan yang ditawarkan," katanya.

Hampir 65,000 keluarga daripada golongan sasar telah dibantu di bawah program 1AZAM.

Karupaya pula antara contoh rakyat yang mendapat khidmat kesihatan Klinik 1Malaysia yang kini berjumlah 307 buah di seluruh negara.

Menurut Perdana Menteri, sebanyak 15.8 juta kes pendaftaran rawatan dicatat oleh Klinik 1Malaysia yang hanya mengenakan bayaran RM1 sahaja.

Ruqaiyah, pemenang pingat gangsa pada Pertandingan Kemahiran ASEAN 2012 di Jakarta, Indonesia dalam bidang teknologi fesyen telah mendapat manfaat daripada pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional(TVET).

Asalnya Ruqaiyah hanya memperoleh pendapatan RM300 sebulan untuk membantu keluarganya selepas tamat pendidikan awal di sekolah pondok.

Kata Najib, Ruqaiyah, yang turut memenangi pingat Medallion for Excellence di WorldSkills Competition 2013 di Jerman, memiliki semangat gigih dan telah berusaha mendapatkan Sijil Kemahiran GIATMARA dalam bidang fesyen dan jahitan  di GIATMARA Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

"Kini, beliau telah memperoleh pendapatan yang baik, melalui pekerjaan beliau sebagai tenaga pengajar di GIATMARA, di samping mengambil upah tempahan jahitan baju," katanya.

Najib turut berkongsi kisah Nor Izzati, seorang pelajar Sekolah Kebangsaan Marian Convent Ipoh, Perak yang merupakan sebuah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

SBT telah meningkatkan kemahiran Nor Izzati berkomunikasi dan bersosial, yang membolehkan pelajar bercita-cita menjadi peguam itu mewakili sekolahnya dalam pertandingan 'choral speaking'.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.