Followers

Wednesday, April 22, 2015

Musa Hassan sokong Zahid, protes salib satu hasutan OLEH HASBULLAH AWANG CHIK


Bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan senada dengan menteri dalam negeri, yang menyifatkan protes di luar sebuah gereja Ahad lalu merupakan satu bentuk hasutan.

Bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan senada dengan menteri dalam negeri, yang menyifatkan protes di luar sebuah gereja Ahad lalu merupakan satu bentuk hasutan.

Tan Sri Musa Hassan bersependapat dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam pendiriannya semalam yang bantahan penduduk terhadap salib gereja di Taman Medan, Petaling Jaya merupakan satu perbuatan hasutan.

Bekas ketua polis negara itu berkata, kenyataan Zahid itu menjelaskan lagi kelakuan hasutan mereka yang terlibat sebagaimana yang termaktub dalam pindaan baru Akta Hasutan 1948.

“Akta Hasutan kini, dalam pindaan yang baharu, ada menyentuh soal agama. Jadi, itu adalah isu hasutan.

“Oleh kerana menteri sendiri mengatakan itu satu hasutan, berkemungkinanlah ada dalam Akta Hasutan pindaan baharu,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Kenyataan Zahid semalam bercanggah dengan pandangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang tidak menganggap bantahan itu sebagai hasutan.

Zahid yang juga naib presiden Umno berkata, tindakan disiplin akan diambil terhadap ahli parti yang menyertai bantahan itu.

Sebelum itu, Khalid menolak wujud elemen hasutan atau jenayah dalam protes yang diadakan pada Ahad ketika penganut Kristian sedang menjalankan upacara keagamaan mingguan mereka.

Menurutnya, isu itu tidak melibatkan agama Kristian tetapi hanya pertikaian mengenai kesesuaian lokasi gereja di kawasan majoriti Melayu Islam.

"Kami tidak melihatnya sebagai menghasut kerana ia tidak menyentuh mengenai agama Kristian tetapi hanya tentang lokasi gereja.

"Kami mengkaji keseluruhan isu dan ia bukan berunsur hasutan kerana ia bukan mengenai agama Kristian," kata Khalid, sambil menambah yang salib itu kemudiannya diturunkan susulan permintaan yang dibuat anggota masyarakat.

"Tidak terdapat keganasan," katanya.

Musa berkata, tindakan penduduk berkenaan bukan saja boleh dikira sebagai hasutan, tetapi juga boleh ditafsirkan sebagai kesalahan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

“Adalah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, 298A, cuba mewujudkan pergeseran antara agama.

“Saya tak boleh komen panjang sebab saya tak tahu (lanjut) mengenai pindaan (Akta Hasutan) yang baharu ini," katanya.

Katanya, beliau tidak pasti sama ada pindaan itu memperuntukkan tindakan membangkitkan isu agama, untuk menghina atau memecah belahkan antara kaum, adalah tergolong perkara menghasut.

Ditanya pendapatnya sama ada menganggap insiden bantahan itu berkaitan agama, Musa berkata: “Bagi saya berkaitan agamalah. Ada pihak yang tak berpuas hati, salib itu ada di situ.”

Ahad lalu, kira-kira 50 orang berkumpul di luar gereja baharu itu menuntut salib yang dipasang di rumah ibadat itu dibuang kerana dikatakan mencabar agama Islam.

Salah seorang dari pemimpin Umno yang turut hadir ialah Datuk Abdullah Abu Bakar, abang kepada Khalid.

Penunjuk perasaan dilaporkan berkata kewujudan salib di kawasan majoriti Melayu Islam itu merupakan satu cabaran kepada agama Islam dan boleh menjejaskan akidah anak muda.

Salib berkenaan dibawa turun oleh pemimpin gereja beberapa jam selepas protes itu. – 21 April, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.