Followers

Monday, April 6, 2015

Jenazah Jamaluddin, Azlin selamat disemadikan

 
 

Hujan renyai mengiringi pengebumian jenazah Anggota Parlimen Rompin, Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, di Makam Masjid Negara di Kuala Lumpur, hari.

Jenazah Allahyarham tiba di Masjid Negara pada 3.15 petang dari kediamannya di Seri Kembangan di ibu negara.

Ayat-ayat suci Al-Quran dibacakan dengan diketuai Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad sebelum jenazah Allahyarham disembahyangkan selepas solat Asar.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Rosmah Mansor, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob serta anggota keluarga Allahyarham dan kira-kira 1,000 tetamu.

Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan bersebelahan pusara bekas Menteri Undang-undang Tan Sri Hamzah Abu Samah, pada 5.50 petang.

Najib dan Rosmah yang kelihatan sugul, turut menabur bunga dan menyiram air di pusara Allahyarham.

Jamaluddin, 63, terkorban apabila helikopter AS365N2 Dauphin yang dinaikinya bersama lima yang lain terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.45 petang semalam.

Allahyarham adalah dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri majlis resepsi perkahwinan anak Najib, Nooryana Najwa dan Daniyar Kessibayev di Pekan, Pahang.

Nahas itu turut mengorbankan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, juruterbang Kapten Clifford William Fournier, pembantu operasi Aidana Baizieva, pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan Seran dan ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang.

Sebelum itu, Najib menyertai ratusan jemaah menunaikan solat jenazah Allahyarham Azlin di Surau Saujana Impian di Kajang.

Solat jenazah yang didahului sembahyang Zohor dan diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra Abdul Manaf Mat itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beberapa menteri kabinet.

Sebelum itu, jenazah Azlin disembahyangkan di kediamannya di Saujana Impian, kira-kira satu kilometer dari surau tersebut.

Allahyarham Azlin, 48, yang mula berkhidmat bersama Najib pada 2008 yang ketika itu timbalan perdana menteri, maut selepas helikopter AS365N2 yang dinaiki bersama lima yang lain, terhempas dan terbakar di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih, dekat Kajang semalam.

Perdana menteri dan rombongan kemudiannya mengiringi jenazah untuk disemadikan di tanah perkuburan Islam Batu 13, Jalan Cheras.

Sebelum dilantik ke jawatan itu pada 10 Mac tahun lepas menggantikan Tan Sri Abdul Aziz Kassim, Allahyarham Azlin, pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan daripada University of New South Wales, Sydney, Australia, merupakan Pengarah Bahagian Ekonomi dan Pegawai Khas Perdana Menteri.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Azlina Mahmad, 48 dan tiga anak, Amir Ashraf, 22, Amirul Akmal, 19, dan Aisha Maryam 14.

-Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.