Followers

Wednesday, April 29, 2015

GTP dan ETP diiktiraf dunia, kata PM

 
 

Kejayaan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) menyelia pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) berjaya menarik perhatian dunia, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata ia terbukti apabila beberapa negara seperti Tanzania, Afrika Selatan dan India kini mengguna pakai model dan khidmat konsultansi PEMANDU dalam merencanakan agenda pembangunan di negara berkenaan.

Beliau berkata tahun lepas, dua penyelidik Bank Dunia Profesor Charles Sabel dan Luke Jordan menerbitkan satu kertas kajian bertajuk 'Doing, Learning, Being: A Study of Malaysia’s Transformation Program' yang mengandungi perakuan mereka tentang keberhasilan transformasi sebenar di Malaysia.

"PEMANDU juga telah dipilih satu daripada 20 Pasukan Inovasi Kerajaan yang terbaik di peringkat antarabangsa," katanya semasa melancarkan Laporan Tahun 2014 GTP dan ETP, yang disiarkan secara langsung menerusi Radio dan
Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pengiktirafan itu diberikan NESTA, iaitu sebuah badan inovasi di United Kingdom dan Bloomberg Philanthropies pada 2014.

Perdana Menteri turut memuji gabungan bakat dan kebolehan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), swasta dan penjawat awam yang menjayakan program itu.

"Hasilnya, dalam tempoh hanya lima tahun pelaksanaan metodologi 'Big Fast Results' (hasil besar dan pantas) di dalam GTP dan ETP oleh PEMANDU bagi mentransformasi Malaysia turut berjaya menarik perhatian dunia," kata beliau.

Menceritakan detik awal penubuhan PEMANDU pada September 2009, Najib berkata objektif utama penubuhannya adalah untuk menyelia pelaksanaan, menilai kemajuan, memudah cara serta menyokong penyampaian serta memacu kemajuan GTP dan ETP.

"Ini semua dilaksanakan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara High Income Advanced Economy (Negara Maju Berpendapatan Tinggi), menjelang fajar 2020, Insya-Allah," kata beliau.

Menurutnya PEMANDU diwujudkan sebagai penyelaras untuk membantu semua kementerian.

PEMANDU tidak bekerja sendirian, sebaliknya ia bertindak sebagai fasilitator atau pemudah cara dalam mengatur dan menyusun pelaksanaan program-program transformasi kerajaan, beriring dengan tanggungjawab kementerian-kementerian, jelas Najib.

"Ertinya, secara keseluruhan, PEMANDU ialah sebuah unit yang mengawasi KPI dan piawai kerja Menteri, Kementerian juga Agensi-Agensi Kerajaan berkaitan," kata beliau.

Berdasarkan laporan PEMANDU juga, prestasi para Menteri akan dibentangkan, dinilai dan dibuat semakan sebanyak dua kali setahun.

"Ini bererti, para Menteri juga tertakluk kepada report card (kad laporan)masing-masing sebagai penentu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) mereka," kata Najib.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.