Followers

Tuesday, April 14, 2015

Dr M bimbang Malaysia jadi negara polis selepas wartawan ditahan


A user's photo. Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meneruskan serangan terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Razak. 

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meneruskan serangan terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Razak. 

Meneruskan serangannya, Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan beliau menarik balik sokongan terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Razak kerana melihat cara perdana menteri menggunakan kuasa akan menyebabkan Malaysia menjadi sebuah "negara polis”.

Dalam satu pertemuan bersama beberapa penulis blog di pejabatnya di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur, Jumaat lepas, Dr Mahathir berkata bibit-bibit ke arah tersebut dapat dilihat menerusi penangkapan pengarang kanan The Malaysian Insider dan penerbit Kumpulan The Edge Media baru-baru ini.

"Apabila saya dapat tahu wartawan-wartawan dari The Edge ditangkap kerana kononnya menghasut, saya tak rasa itu cara yang betul menggunakan kuasa," kata bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu dalam sebuah rakaman video yang disiarkan blog pro-Umno, Apanama.

"Sudah tentu dia akan kata itu bukan dia tetapi polis, tetapi kita tak mahu negara polis," katanya merujuk kepada Najib.

"Polis pada bila-bila masa boleh tangkap kita."

Menurut Dr Mahathir, sistem perundangan negara jelas menolak cubaan menukar negara ini menjadi negara polis apabila menafikan permohonan polis untuk mereman mereka yang ditahan itu.

"Malah, majistret tak mahu bagi," katanya dalam video itu, dipercayai merujuk kepada permohonan reman polis yang ditolak.

Seterusnya, tulisan yang disiar blog tersebut mendakwa Dr Mahathir kini berpendirian enggan menyokong Najib lagi selepas 4 tahun berbuat demikian.

Menurut tulisan itu, insiden penangkapan wartawan itu menyebabkan Dr Mahathir mengambil sikap berpatah arang dengan Najib.

"Saya dah lama tunggu. Saya cuba dan cuba dan cuba, dah banyak tahun," kenyataan Dr Mahathir dari video itu dipetik.

Selain daripada kenyataan ini, Dr Mahathir sebelum ini melancarkan siri kritikan terhadap Najib.

Beliau antara lain bertanya sama ada penyokong Najib turut menyokong timbunan hutang yang dikumpul badan pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) – jika mereka benar-benar menyokong.

Dr Mahathir sebelum ini juga secara sinis berkata, beliau tidak pernah mengarahkan Sirul Azhar Umar – komando polis pengiring Najib yang juga pernah berkhidmat dengannya –untuk membunuh orang.

Sirul dijatuhkan hukuman mati kerana membunuh wanita Mongolia pada 2006 – satu tindakan yang didakwa Sirul dibuat "atas arahan".

Dua hari lalu, Dr Mahathir turut mengkritik Umno yang menurutnya sarat dengan pemimpin yang mengamalkan budaya cari makan atas angin.

Beliau turut menzahirkan kekecewaannya terhadap Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang kurang ampuh dalam membantu Bumiputera apabila pelajar golongan itu kini dakwanya sukar mendapat biasiswa.

Asakan demi asakan ini menyebabkan Najib muncul dalam satu wawancara Edisi Khas TV3 pada Khamis lalu bagi menjawab beberapa kritikan terhadapnya.

Najib mendakwa kritikan Dr Mahathir antaranya berpunca daripada kengganan Najib meneruskan projek jambatan bengkok menghubungkan Singapura dan Johor yang diilhamkan Dr Mahathir sewaktu pemerintahannya.

Dr Mahathir menafikan jawapan Najib itu semalam kerana menurutnya, beliau berkempen untuk Najib dan BN dalam pilihan raya umum lalu walaupun kepimpinan Najib di Selangor tidak berkesan.

Tempias daripada pertelingkahan dua tokoh ini menyebabkan kesetiaan anak Dr Mahathir merangkap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, dipersoalkan.

Mukhriz senalam mengumumkan yang beliau akan memaklumkan pendiriannya berkenaan kemelut ini pada 24 April.

Terkini, Najib semalam bertemu Pemuda Umno pada satu majlis khas di Kuala Lumpur yang menyaksikan sayap Umno itu mengisytiharkan taat setia mereka kepada Najib. – 14 April, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.