Followers

Thursday, April 16, 2015

Dosa sudah tidak lagi jadi perhitungan? Sejauh mana dakwaan ‘sabotaj’ dalam pemilihan PAS kawasan? - oleh Alyaa Alhadjri.



KUALA LUMPUR: Komplot tersirat – atau tidak terlalu tersirat – antara puak dalam PAS mungkin sudah pun mula berjalan menjelang muktamar pemilihan Jun depan, dengan sekurang-kurangnya satu laporan berhubung sabotaj dan pengaturan dalam pemilihan peringkat bahagian.

Pada 14 April, Malaysiakini memetik tokoh veteran PAS Ahmad Awang yang mendakwa bekas menteri besar Perak Nizar Jamaluddin adalah antara mangsa “kempen fitnah” oleh puak pro ulama’.

Nizar terlepas kedudukan sebagai Yang Dipertua PAS Kampar. Ahmad dilaporkan mendakwa, ada risalah yang melabelkan Nizar sebagai “talibarut DAP” yang menyebabkan beliau tewas kepada Ketua Hal-ehwal Ulama’ PAS Kampar.

Nizar sebelum ini menjadi Yang Dipertua di sana untuk tujuh penggal, atau hampir mencecah dua dekad. Ketika dihubungi, Nizar yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Perak pada awalnya berkata, tidak menyedari tentang dakwaan Ahmad.

Namun selepas dimaklumkan, beliau kemudiannya berkata, “Betul lah!”, tetapi tidak mengulas lanjut. Jika sabotaj dan taktik begitu benar-benar berlaku, ini bermakna mereka dalam puak ulama’ sedang bergerak untuk mengukuhkan kedudukan mereka, menguasai lebih banyak PAS kawasan yang akhirnya dapat menentukan pencalonan dan menghantar perwakilan kawasan ke muktamar nanti.

Namun, pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat Asmuni Awi memaklumkan belum menerima apa-apa laporan “rasmi” berhubung dakwaan salah laku dalam tempoh berkempen yang sedang berlangsung.

Katanya, garis panduan telah dikeluarkan kepada setiap ahli dan tidak akan melayan apa-apa “khabar angin” berhubung dakwaan kesalahan, termasuk dakwaan sabotaj terhadap Nizar.



“Tiada laporan (diterima). Jika ada, saya tiada kuasa untuk menyiasat, (maka) saya akan lanjutkannya kepada jawatankuasa disiplin.

“Saya juga tidak akan mengulas khabar angin. Individu itu sendiri atau ahli kawasan yang perlu membuat laporan rasmi kepada parti,” katanya ketika dihubungi Semut Harian.

Setakat ini, sejumlah 40 daripada 191 PAS kawasan seluruh negara telah mengadakan mesyuarat dan memilih pemegang jawatan bagi penggal 2015-2017, serta menamakan calon untuk bertanding jawatan di peringkat pusat.

Jika apa yang berlaku kepada Nizar adalah benar, ia mungkin akan diteruskan di cawangan lain sepanjang tempoh ini, dengan puak pro-ulama’ dan profesional melancarkan perang proksi untuk mengawal kawasan.

Tarikh akhir bagi PAS kawasan bermesyuarat dan menghantar pencalonan adalah 26 April ini. Sementara itu, Malaysiakini juga melaporkan yang Ahmad setakat ini sudah menerima tiga pencalonan untuk mencabar presiden Abdul Hadi Awang. Abdul Hadi pula telah menerima 22 pencalonan.

Ahmad masih belum memutuskan untuk menerima pencalonan itu, dan beliau dilaporkan berkata: “Kalau bertanding (mesti) nak menang, tetapi kalau keadaan ini dibiarkan tiada maknanya. (Pencabar) Mesti kalahlah.”


“(Mereka) guna ulama, buat aktiviti khusus untuk menangkan Ustaz Hadi,” katanya, dan membangkitkan sokongan terbuka Majlis Syura Ulama’ yang diketuai Mursyidul Am Haron Din terhadap Hadi, yang jelas bertujuan untuk menyekat pencabar.

“Dia (Haron) perlu berlaku adil, menasihat supaya perwakilan menjaga adab. Isytihar suruh pertahan presiden, orang lain tak boleh. “Kita tidak mahu mursyidul am masuk campur. Jangan salah guna kuasa, ia boleh menjatuhkan imej parti dan menambahkan lagi imej buruk pimpinan khususnya ulama,” kata Ahmad seperti dipetik.

Pemerhati menyatakan, Ahmad, 79 tahun, boleh memberikan cabaran yang lebih sengit kepada Abdul Hadi, memandangkan beliau adalah seorang ulama’ dan pada masa sama pendokong kuat agar PAS kekal bersama PKR dan DAP dalam Pakatan.

Laporan juga menyatakan Ahmad ketika menjadi timbalan pesuruhjaya PAS Perak menentang usaha Umno yang didakwa mahu menubuhkan kerajaan perpaduan dengan PAS di negeri itu, selepas Barisan Nasional tewas pada PRU ke-12.

Pada PRU itu, Umno Perak memenangi 27 kerusi DUN (dan MCA 1 kerusi) sementara PAS menang 6 kerusi. Ia membolehkan kerajaan perpaduan tiga parti itu ditubuhkan dengan majoriti 4 kerusi di DUN Perak.

Seorang lagi calon yang layak mencabar Hadi adalah Naib Presiden Husam Musa, yang setakat ini mendapat Sembilan pencalonan. Namun berbeza dengan Ahmad, Husam bukan seorang ulama’ dan calon yang dilihat jelas untuk mewakili puak profesional.

Bekas exco Kelatan itu sendiri dikatakan telah diketepikan, dan kerjaya politiknya “disabotaj” selepas puak ulama’ yang pro-hudud dan pro-Umno mengambil alih pentadbiran negeri.

Posted by mountdweller

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.